img_4013

Mula mewar-warkan ketibaannya sejak awal tahun ini, Audi A4 B9 serba baharu akhirnya telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Walau bagaimana pun, Audi Malaysia mengambil keputusan untuk melancarkan varian 2.0 TFSI terlebih dahulu, dan akan menyusul dua lagi varian iaitu 1.4 TFSI dan 2.0 TFSI Quattro tidak lama lagi.

Menggabungkan penampilan estetik yang agresif, enjin atletik dan teknologi tercanggih, model Audi paling laris sepanjang zaman ini dilihat sekali lagi menetapkan penanda aras untuk segmennya. Diproduksi di Jerman, Audi A4 2.0 TFSI serba baharu ini dilengkapi enjin 2.0 liter TSFI empat-silinder yang menawarkan kuasa mencecah 190 hp dan tork maksimum 320 Nm dari putaran enjin serendah 1,450 hingga 4,200 rpm.

Ia turut dipadankan dengan kotak gear S tronic tujuh-kelajuan, dan gabungan kuasa ini membolehkan Audi A4 2.0 TFSI memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.3 saat dengan kelajuan maksimum 240km/j.

Di sebalik prestasi yang sporty itu, Audi A4 2.0 TFSI tetap mampu mengekalkan penjimatan bahan api yang mendahului kelasnya. Gabungan penggunaan bahan api cuma 5.0 liter bagi setiap 100km dengan catatan emisi CO2 114g/km.

audi_b9a4_ext-16

Menawarkan peningkatan ketara dari segi pemanduannya, Audi A4 bukan sahaja berorientasikan kepada prestasi, malah ia juga selesa dan mudah dipandu berbanding model sebelumnya. Dibina di atas platform MLB-Evo baharu yang turut digunakan pada model SUV Audi Q7, casis Audi A4 berfungsi secara harmoni dengan sistem stereng elektromekanikal dan suspensi adaptif lima sambungan bersama kawalan peredam untuk menyerap segala ketidaksempurnaan permukaan jalan raya. Pada masa sama menjanjikan maklum balas pemanduan yang optimum.

Sama seperti semua kenderaan Audi, ciri Audi drive select hadir sebagai satu ciri standard. Ia membolehkan talaan suspensi, enjin dan rangkaian kuasa dibuat bagi disesuaikan dengan kecenderungan pemandu serta kondisi jalan raya.

Audi A4 juga dilengkapi pelbagai ciri elektronik demi menawarkan pengalaman pemanduan yang efisien dan selamat. Ini termasuklah sistem start/stop dengan janaan semula tenaga, Electronic Stabilisation Control (ESC), Traction Control (ASR), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Differential Lock (EDL), bantuan parkir dengan pilihan paparan, ABS dan enam beg udara.

Pastinya imej yang ditampilkan mampu menarik perhatian, Audi A4 serba baharunini yang diolah dengan gaya yang lebih sporty ditampilkan dengan kerangka pada bahagian hadapan yang lebar. Karekternya nyata menyerlah dengan garis-garis horizontal dan didominasi oleh gril signatur Audi, Singleframe bersama lampu utama LED yang tersendiri.

Garis bahu yang tepat dan maskular menjalar di seluruh kenderaan. Sekali gus memberikannya penampilan yang atletik dan lebih panjang. Apatah lagi apabila dipadankan dengan rim aloi lima-jejari selari bersaiz 17-inci.

Cermin sisi Audi A4 kini diletakkan di atas bahu kereta dan bukannya pada tiang A. Memberikannya gaya lebih sporty yang sebelum ini hanya boleh dilihat pada model Audi TT dan R8. Ia juga meningkatkan aspek aerodinamik dengan catatan pekali seretan hanya 0.23 yang mendahului kelasnya.

Penambahbaikan dari segi aerodinamik serta beberapa ciri rekaan lain seperti garis nipis untuk meningkatkan aliran udara pada cermin sisi, reka bentuk bootlid belakang, bahagian bawah enjin yang ditutup dan gandar belakang dinaikkan secara minimum memastikan Audi A4 serba baharu mampu menawarkan akustik yang terbaik dalam kelasnya.

audi_b9a4_ext-12

Di bahagian belakang pula, lampu LED didatangkan dengan indikator dinamik sebagai satu ciri standard. Sekali gus memberikan impresi yang menawan ketika ia dipandu pergi atau tiba di satu-satu lokasi.

Selain menjadi sebuah kereta serba boleh yang lebih besar dengan 25mm lebih panjang dan 16mm lebih lebar, Audi A4 bagaimanapun 120kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Ini adalah hasil gabungan bijak di antara reka bentuk dan material yang ringan, menjadikannya kenderaan paling ringan dalam kelasnya.

Melangkah ke dalam kabin Audi A4 serba baharu, ia menampilkan ruang luas, berteknologi tinggi yang bukan sahaja lebih besar, malah jauh lebih bagus buatannya dan selesa berbanding sebelum ini. Bermula dengan kabin yang berpusat kepada pemandu, rekaan horizontal yang diserlahkan pada bahagian luar diteruskan ke ruang dalaman kenderaan bersama papan pemuka yang nipis dan seakan-akan terapung. Ia diserlahkan lagi dengan kemasan Aluminum Ellipse dan corong pendingin hawa yang ada pada konsolnya.

Bahagian tengah papan pemuka dihuni oleh MMI® radio plus yang terdiri daripada skrin bersaiz tujuh-inci dan sistem bunyi Audi dengan amplifier enam-saluran serta 10 unit pembesar suara berkuasa 180 watt.

audi_b9a4_int-1

Pada tempat duduk pemandu, Audi A4 serba baharu dilengkapi stereng tiga jejari muti-fungsi sporty yang dibalut kulit serta paddle shifter sebagai ciri standard. Pelanggan juga boleh memilih sama ada dial analog standard yang digabungkan dengan TFT Audi Driver Information System (DIS) bersama paparan berwarna bersaiz tujuh-inci atau kokpit maya Audi yang didatangkan bersama pakej Technology sebagai pilihan. Ia akan menggantikan kluster intrumen standard yang terdiri daripada monitor TFT beresolusi tingi bersaiz 12.3 inci dan boleh diubah suai sepenuhnya.

Tempat duduk hadapan juga ditampilkan bersama sokongan lumbar empat cara. Manakala tempat duduk belakang pula boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:40 yang eksklusif dalam kelasnya. Konfigurasi itu membolehkan ruang but ditingkatkan daripada 480 liter menjadi 965 liter.

Pengarah Pemasaran Audi Malaysia, Rudi Venter berkata, “Dengan kehadiran A4, kami ingin memperkenalkan kereta yang lebih besar dalam semua aspek. Tetapi pada masa yang sama lebih ringan, lincah, berkuasa, seronok dipandu dan menjimatkan bahan api. Jentera ini juga sarat dengan teknologi dan ciri terbaru, namun lebih mudah digunakan berbanding sebelumnya. Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan Audi A4 serba baharu sememangnya mengagumkan.”

Sambungnya lagi, Audi Malaysia juga akan memperkenalkan model asas 1.4 TFSI dan varian 2.0 Quattro yang berorientasikan kepada prestasi pada Januari 2017. Apabila diperkenalkan pada tahun 2009, Audi A4 generasi kelapan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan memberangsangkan jenama Audi di Malaysia.

Audi A4 2.0 TFSI serba baharu hadir dalam sepuluh warna iaitu Glacier White, Floret Silver, Matador Red, Tango Red, Argus Brown, Scuba Blue, Monsoon Grey, Manhattan dan hitam. Sementara warna Daytona Grey mutiara ditawarkan untuk model yang dibeli bersama pakej S line.

Audi A4 2.0 TFSI serba baharu boleh didapati bermula 20 September di semua pengedar sah Audi di seluruh negara. Ia ditawarkan pada harga bermula RM248,900 (tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti empat tahun/120,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Malah sebanyak 100 unit pertama akan ditawarkan dengan harga pengenalan RM239,000 seunit, sama seperti harga model terdahulu.

Terdapat dua pakej pilihan ditawarkan untuk Audi A4 2.0 TFSI iaitu pakej S Line dan Technology. Pakej S line yang sporty terdiri daripada bampar hadapan dan belakang yang agresif, rim aloi dengan reka bentuk lima jejari bintang berkembar bersaiz 18 inci, kemasan sil pintu beriluminasi bersama kemasan aluminium, tempat duduk sports dibalut kulit Alcantara berwarna hitam, stereng sport S line dibalut kulit serta pelbagi ciri sporty yang lain dengan tambahan RM25,000.

Sementara pakej Technology yang mula ditawarkan tidak lama lagi pula merangkumi lampu utama LED Matrix bersama indikator dinamik pada bahagian hadapannya. Selain MMI Navigation plus dengan papan sentuh MMI, kokpit maya Audi, antara muka telefon pintar Audi untuk Apple Carplay dan Android Auto, Audi Connect serta kamera undur.

Untuk perincian lebih lanjut mengenai varian bagi Audi A4 B9 serba baharu, sila layari CarBase.my.

GALERI: Audi A4 B9 S Line