Mercedes Benz E-Class X213 All-Terrain bakal saingi Audi A6 Allroad dan Volvo V90 Cross Country

Mercedes-Benz E-Klasse All-Terrain (S213), 2016

Volvo baru-baru ini sudahpun memperkenalkan generasi terbaharu V90 Cross Country, manakala Audi pula seperti diketahui tampil dengan A6 All-Road yang sudah sekian lama diperkenalkan. Terbaharu, Mercedes-Benz turut bakal menyertai pasaran wagon premium yang ditinggikan ini menerusi model E-Class All-Terrain, yang bakal dipamerkan di Paris Motor Show bulan hadapan.

Untuk membezakan model All-Terrain dengan wagon E-Class biasa, ia menerima kemasan pelindungan plastik berwarna hitam pada kesemua ruang roda dan disertakan dengan skid plate pada bampar hadapan dan belakang, bagi memberikan perlindungan pada bahagian bawah kereta ini. Gril hadapan rekaan baharu turut dipadankan bagi memberikan rupa yang lebih lasak berbanding E-Class biasa.

Sesuai dengan kegunaannya, E-Class All-Terrain dibekalkan sistem pacuan semua roda 4Matic dan juga suspensi udara Air Body Control bagi membolehkan ia dipandu melalui permukaan jalan yang lasak. Tiga rekaan roda aloi baharu berdiameter dari 19- hingga 20-inci telah dibina khas untuk model ini.

Mercedes-Benz E-Klasse All-Terrain (S213), 2016

Sedikit perbezaan pada bahagian dalaman diberikan pada model All-Terrain ini iaitu kemasan aluminium-karbon, pedal kawalan keluli tahan karat serta lencana “All-Terrain” yang dipadankan pada pelapik-pelapik lantai. Kelengkapan dalaman untuk model All-Terain ini pula diasaskan dari pakej kemasan Avantgarde Line, manakala trim Exclusive dan designo line akan ditawarkan untuk pasaran UK.

E-Class All-Terrain akan dijana enjin turbodiesel empat silinder baharu berkuasa 194 hp/400 Nm yang diletakkan di bawah varian E220d 4Matic, yang berupaya memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa lapan saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 232 km/j.

Varian All-Terrain yang lebih berkuasa dijangka akan diperkenalkan tahun hadapan, dijana oleh enjin turbodiesel enam-silinder lebih besar. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic terbaharu Mercedes.

Mercedes-Benz E-Klasse All-Terrain (S213), 2016

Selain dari empat mod Dynamic Select iaitu Eco, Comfort, Sport dan Individual pada E-Class standard, model All-Terrain ini turut dibekalkan dengan satu lagi mod iaitu All Terrain Mode yang diambil terus dari SUV GLE. Mod ini akan mengangkat badan kereta berkenaan sehingga 20 mm, dan proses berkenaan boleh dilakukan pada kelajuan di bawah 35 km/j. Suspensi ini boleh mengangkat badan kereta ini dengan ketinggian tambahan 35 mm menerusi tiga ketinggian yang boleh dipilih pada sistem suspensi udara.

Menurut Mercedes-Benz, menerusi sistem suspensi yang boleh dilaras berkenaan membolehkan jarak kelegaan E-Class All-Terrain boleh diubah antara 121 dan 156 mm, bergantung pada tahap yang dipilih. Walau bagaimanapun, jarak kelegaan tanah pada Audi A6 Allroad dan Volvo V90 Cross Country adalah 29 mm lebih tinggi berbanding E-Class All-Terrain. Spesifikasi dan perincian harga penuh model ini dijangka akan diumumkan awal tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required