198297_new_volvo_v90_cross_country_studio-e1474248728247_bm

Setelah diumumkan dan video ‘teaser’nya disiarakan dua minggu lalu, kini Volvo secara rasminya memperkenalkan siri Cross Country generasi terbaharu iaitu V90 Cross Country. Membawa tradisi dari generasi terdahulu, model baharu ini menggabungkan praktikaliti dan keselamatan dari model wagon V90 serta kebolehan untuk dipandu dalam apa jua bentuk permukaan jalan.

Juga seperti model-model terawal, model terbaharu Cross Country dapat dibezakan dari wagon V90 menerusi kemasan pelindung badan plastik pada bampar hadapan dan belakang, bahagian sisi badan dan kesemua ruang roda, serta skid plate pada bahagian depan dan belakang. Tulisan Cross Country juga seakan terukir pada bampar belakang.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang perubahan dilihat pada bahagian dalaman yang mana ia masih berkongsi rekaan dengan model V90 standard, menampilkan rekaan ringkas gaya Scandinavia, skrin sesentuh dalam format potret, serta ruang but 560 liter (1,526 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

198321_new_volvo_v90_cross_country_location-e1474249632450_bm

Aspek yang paling penting – kelegaan tanah Cross Country telah dinaikkan sebanyak 65 mm kepada 210 mm, sekaligus meningkatkan sudut menghampiri dan berlepas (approach and departure angles) untuk mengelakkan bahagian hadapan dan belakang dari pada tersangkut pada permukaan muka bumi yang tidak rata.

Selain dari mod Eco, Comfort, Dynamic dan Individual yang sedia ada pada V90, Cross Country turut ditambah dengan satu lagi mod pemanduan iaitu Rough Road, dan turut disertakan sekali dengan Kawalan Penurunan Bukit (Hill Descent Control)

Untuk suspensi pula, Cross Coountry menampilkan sistem tulang selangka berkembar (double wishbone) pada bahagian belakang serta sistem integral rear link bersama spring daun komposit dan sistem suspensi angin pada bahagian belakang. Sistem serapan hentakan adaptif Four-C juga ditawarkan sebagai ciri opsyen.

Interior

Interior

Pada pelancarannya nanti, V90 Cross Country akan dipadankan dengan enjin empat silinder 2.0 liter Drive-E. Ia ditawarkan dengan dua pilihan iaitu T5 dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 254 hp pada takat 5,500 rpm/tork maksima 350 Nm bermula 1,500 hingga 4,800 rpm; manakala versi T6 pula menerima bantuan pengecas turbo serta supercharger, menghasilkan kuasa 320 hp pada takat 5,700 rpm/tork maksima 400 Nm bermula 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. Varian T8 Twin Engine plug-in hybrid (407 hp/640 Nm) walau bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada ia akan ditawarkan atau tidak.

Model baharu ini turut ditawarkan dalam versi diesel dengan enjin turbo diesel empat silinder 2.0 liter. Varian D4 mampu menghasilkan kuasa 190 hp pada takat 4,250 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,500 rpm. Untuk enjin diesel varian D5 pula, ia dibantu dengan sistem PowerPulse, iaitu udara tambahan yang disuapkan ke sistem turbo menerusi pemampat udara dan tangki bertekanan yang dibekalkan, untuk memberikan respon enjin lebih baik dengan kuasa 235 hp dan tork maksima 480 Nm.

Kesemua enjin ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, dan hanya varian D4 ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan. Sistem pacuan empat roda dari Borgwarner adalah standard untuk setiap varian di mana sistem ini akan memacu roda hadapan dalam pemanduan biasa, dan boleh menghantar sehingga 50% tork dengan segera pada roda belakang apabila diperlukan.