Setelah mengumumkan Volvo V90 Cross Country 2017 akan diperkenalkan pada pertengahan September ini iaitu minggu hadapan, syarikat pengeluar automotif dari Sweden berkenaan turut menyiarkan video teaser model “untuk semua permukaan paling berkebolehan dan selesa pernah ditawarkan” yang akan dibina berdasarkan wagon Volvo V90, dan akan melengkapkan barisan model Siri 90 Volvo.

Menerusi video berkenaan, Volvo telah memaparkan kronologi generasi Cross Country bermula dari model generasi pertama V70 Cross Country, generasi kedua yang ditukar namanya kepada XC70, sehingga generasi ketiga yang digemari di Amerika. Secara keseluruhan, separuh dari jumlah XC70 generasi sebelum ini yang telah diproduksi terjual di pasaran Amerika Syarikat. Teaser untuk generasi terbaharu Cross Country muncul pada penghujung video ini.

“Cross Country telah mejadi cerminan sebenar kereta buatan Volvo pada pandangan ramai orang. Ia merupakan konsep yang berjaya sejak dari mula, sempurna untuk suhu yang sukar dan keadaan jalan raya yang kami tempuhi di Sweden,” kata Hakan Samuelsson, presiden dan CEO Volvo Car Group.

Generasi pertama V70 Cross Country muncul dalam pasaran pada tahun 1996, menggabungkan fungsi pada wagon bersama dengan kebolehan yang lasak. Setelah 20 tahun, Cross Country kini menerjah masuk ke pasaran kenderaan premium, menawarkan pengalaman pemanduan yang berkebolehan serta selesa.

Menurut Volvo, model Cross Country sentiasa direka untuk memenuhi keperluan lanskap yang ekstrem di kawasan Scandinavia, dan model ini boleh beraksi pada setiap permukaan jalan – dari jalan berlumpur dan salji tebal sehingga kepada perjalanan jarak jauh di lebuhraya. Volvo turut menambah, model ini agak popular dikalangan pemilik kuda dan bot kerana kelegaan tanahnya yang tinggi, serta kuasa yang mencukupi dan ciri pacuan semua roda.

“Kami sangat berhati-hati sejak dari mula lagi untuk memastikan konsep Cross Country ini bukan hanya sekadar gaya yang lasak. Kami meletakkan keperluan yang tinggi pada kebolehan dunia sebenar, dan dalam pembangunan model ini kami menambah elemen keselesaan dan kemudahan yang dijangkakan oleh pemandu Volvo,” kata Peter Mertens, timbalan presiden senior pembangunan dan penyelidikan di Volvo Car Group.