2016-volkswagen-jetta-in-malaysia-1-1-bm

Volkswagen Jetta 2016 dijangka akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia awal minggu hadapan. Semalam Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan tempahan untuk Volkswagen Jetta baharu telah dibuka.

Baru ini kami menerima kiriman foto Jetta 2016 daripada pembaca paultan.org Tommy Lam yang mengesan kehadirannya di salah sebuah bilik pameran tempatan.

Bagi bahagian luarannya, Jetta baharu ini memperkenalkan beberapa pembaharuan, termasuklah gril hadapan yang dipertingkatkan, bampar hadapan, bampar belakang, roda baharu serta lampu utama dan lampu belakang yang direka semula. Di bawah hudnya, ia menerima enjin baharu iaitu 1.4 liter pengecas turbo suntikan-terus TSI empat-silinder, yang menggantikan unit 1.4 liter TSI pengecas berkembar (supercharged dan pengecas turbo) pada model sebelumnya.

Enjin baharu ini boleh menghasilkan kuasa sehingga 150 PS dan tork 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500 rpm iaitu kurang 10 PS tetapi lebih 10 Nm berbanding Jetta sedia ada. Ia juga dipadankan dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan, dan didatangkan dengan beberapa elemen yang lebih efisien seperti sistem melahu start/stop dan pembrekan janaan semula.

Manakala untuk bahagian dalamnya pula, ia ditampilkan dengan tempat duduk pemandu upholstery dengan balutan kulit bagi varian Highline, iaitu spesifikasi tertinggi selepas Comfortline dan Trendline. Foto yang dikirimkan ini juga kelihatan elemen termasuk sistem kawalan suhu dwi-zon Climatronic, bersama butang penghidup enjin.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda stereng baharu, yang diambil daripada model Golf Mk7, unit infoinment baharu bersama skrin sentuh dan trim pada tuil gear turut digantikan. Dijangkakan material dalaman juga dipertingkatkan bagi Jetta versi facelift ini.

Model yang diperkenalkan buat pertama kali di New York Auto Show 2014 ini juga telah diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Ia dianggarkan akan dijual pada harga di antara RM110,000 hingga RM130,000. Harga sebenar dan perincian lebih lanjut hanya akan diketahui pada majlis pelancarannya minggu hadapan.