Public-Parking-Lots

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sedang giat menjalankan operasi tundaan dan sitaan khusus di kawasan pusat bandar ibu negeri berkenaan untuk mengatasi masalah sikap pemandu yang gemar meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan, menurut laporan Sinar Harian.

Sehingga September lalu, sejumlah 1,311 kereta telah ditunda dengan nilai kompaun berjumlah RM344,575 dikutip oleh MBJB. Menurut Datuk Bandar MBJB, A Rahim Nin, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu adalah meletakkan kenderaan mereka di atas siar kaki, kaki lima, landskap, garisan kuning, luar petak parkir, tempat pemunggahan barang dan laluan bas.

“Perkara ini terkandung di bawah peruntukan Seksyen G(i)(g) Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBJB 2004 iaitu menyebabkan dan membenarkan mana-mana kenderaan diletakkan di mana-mana tempat awam yang menyebabkan halangan,” katanya pada Mesyuarat Penuh (September) 2016, semalam.

Tambah beliau lagi, sejajar dengan bidang kuasa MBJB, tindakan kompaun, tunda dan sita telah dikenakan kepada mana-mana pemilik yang ingkar dengan arahan dinyatakan.

A Rahim menegaskan, tindakan tunda dan sita diambil berikutan rungutan dan aduan orang ramai berhubung kesulitan khususnya untuk pergerakan kenderaan di samping turut merosakkan laluan pejalan kaki.

“Perlu ditekankan di sini, tindakan menunda bukanlah alternatif yang terbaik untuk mengatasi masalah ini.

“Kesedaran sivil daripada orang ramai memainkan peranan yang penting di dalam memastikan kenderaan diletakkan di tempat yang betul dan mematuhi tanda-tanda larangan meletakkan kenderaan.

“Sikap enggan membayar parkir dan ‘malas berjalan’ hendaklah dikikis di kalangan warga bandar raya,” katanya.