VIDEO: ‘Jiwa’ Ayrton Senna dalam Honda NSX NA1

Honda NSX generasi pertama (NA1) diperkenalkan buat pertama kali kepada umum pada tahun 1989, dan mula menembusi pasaran pada tahun 1990. Pada era tersebut juga, karier lagenda dunia Formula Satu, Ayrton Senna sedang berada di puncak – bergelar juara dunia untuk musim 1988, 1990 dan 1991 dengan memandu untuk pasukan McLaren Honda.

Jadi, apa kaitan Senna dengan NSX? NSX dibina dengan kerangka dan panel badan aluminium sepenuhnya, dilengkapi dengan enjin 3.0 liter V6 DOHC VTEC berkuasa 270 hp dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan manual yang diletakkan pada bahagian tengah kereta berkenaan. Ia juga menggunakan sistem suspensi Double Wishbone yang diinspirasikan dari teknologi Formula 1.

Pada peringkat akhir pembangunan NSX, Honda meminta Ayrton Senna menguji sendiri jentera tersebut untuk mendapatkan maklum balasnya, dan hasilnya, talaan akhir pada NSX versi produksi merupakan talaan yang memenuhi sepenuhnya kehendak corak pemanduan Senna. Secara tidak langsung, NSX generasi pertama berkenaan ‘hidup’ dengan ‘jiwa’ Ayrton Senna di dalamnya.

Video yang disiarkan diatas merupakan video yang dihasilkan oleh Robbert Albas, menampilkan NSX NA1 berwarna merah dipadankan bersama rim aloi forged Desmond Regamaster Evo, dengan paparan aksi-aksi serta bait-bait ayat yang pernah dilontarkan oleh Senna, untuk memperingati beliau sebagai lagenda Formula Satu. Ia turut diselang-selikan dengan aksi NSX berkenaan di jalan raya bersama ngauman VTEC DOHC V6 yang begitu mengujakan.

Senna turut dijemput untuk menguji NSX Type-R (video di bawah, yang turut memperlihatkan kemahiran memandu Senna yang sangat lancar dan mengkagumkan) yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1992 setelah jentera berkenaan siap sepenuhnya. Selain itu, Senna juga dilihat sebagai ikon Honda ketika dijemput untuk memandu uji Honda Civic dan CRX SiR (video paling bawah), di mana kedua-dua jentera tersebut turut diberikan suspensi Double Wishbone dan enjin 1.6 liter B16A DOHC VTEC.

NSX generasi pertama kemudiannya hadir dengan enjin V6 lebih besar berkapasiti 3.2 liter berkuasa 290 hp dan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan pada tahun 1997. Versi facelift terakhir NSX generasi pertama ini hadir pada tahun 2002 (dikenali dengan kod casis NA2) dan pengeluarannya ditamatkan sepenuhnya pada tahun 2005, sebelum model generasi kedua muncul dalam pasaran secara rasmi pada tahun ini.

GALERI: Honda NSX generasi kedua di Tokyo 2015

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required