toll plaza plus

Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) menggesa PLUS Malaysia Berhad (PLUS) agar kadar caj Perjalanan Melebihi Tempoh Yang Ditetapkan (LJT) diperhalusi dengan menitikberatkan soal keselamatan dan rehat yang perlu kepada pemandu,lapor Bernama.

Menurut Yang Dipertua PKP Samsudin Mohamad Fauzi, PLUS seharusnya lebih prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya dengan tidak hanya mewujudkan pelbagai jenis bayaran lagi kerana pengguna sememangnya mempunyai kurang pilihan selain menggunakan lebuh raya PLUS.

“Kami melahirkan rasa kerisauan kerana keadaan ini akan menimbulkan situasi kelam-kabut kepada pemandu yang akan mula memandu secara melulu sekiranya pemandu terlebih tidur atau terlebih rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi mengelakkan caj denda ini sekaligus akan membahayakan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada agensi berita berkenaan.

Samsudin juga menyarankan PLUS mencari formula lain yang lebih efektif dalam mencari sasaran mereka yang melakukan pertukaran tiket daripada mengambil jalan mudah menjadikan semua pengguna terbeban. Beliau juga berkata PLUS sebaliknya perlu memberikan rebat kepada pengguna lebuh raya yang sering kali berada dalam kesesakan yang berpunca daripada projek menaik taraf atau pembaikan.

highway

“Pernahkah pihak PLUS memikirkan berapa ramai pula pengguna yang mengalami kerugian mahupun daripada sudut masa, penggunaan bahan bakar, penyelenggaraan kenderaan ataupun mereka yang hilang peluang perniagaan atau keuntungan akibat tersangkut dalam kesesakan ini,” katanya.

PKP menggesa pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) segera mengarahkan PLUS membatalkan denda ini dan tidak menimbangkan alasan PLUS dan berpendirian sekiranya PLUS masih mahu meneruskan caj LJT, pihak PLUS perlu mengeluarkan jadual masa perjalanan waktu yang sepatutnya pengguna boleh sampai ke destinasi.

“Sekiranya pengguna gagal sampai dalam tempoh tersebut akibat kesesakan di lebuh raya maka pengguna itu juga berhak menuntut rebat atau ganti rugi daripada pihak PLUS,” katanya.

Sebelum ini perkongsian seorang pengguna lebuh raya telah viral di laman sosial yang mendakwa dia dikenakan bayaran sebanyak RM9.40 untuk perjalanan dari plaza tol Gurun ke plaza tol Pendang, Kedah di mana bayaran sebenar untuk laluan tersebut hanyalah RM3.00. Dia juga mendakwa pihak PLUS mengesyaki ada penipuan yang dilakukan dan cas tambahan akan dikenakan sekiranya pengguna berada di kawasan R&R melebihi satu setengah jam, serta pengurusan lebuh raya berkenaan juga memberikan jawapan yang tidak pasti ketika dia menghubungi talian perkhidmatan pelanggan.

PLUS menjelaskan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, langkah berkenaan diambil bagi mengatasi kegiatan manipulasi kad transit tol di beberapa laluan yang dikenal pasti di lebuh raya kendalian PLUS.