honda-cbr1000rr-sp-bm-2

Awal bulan ini, Honda mendedahkan perincian bagi model supersports terbaru mereka, CBR1000RR SP 2017, dan hujung minggu lalu, ia singgah di Malaysia bersempena kemeriahan perlumbaan MotoGP di Litar Sepang.

Enjin yang digunakan pada model 2017 ini masih lagi unit 999 cc DOHC empat silider sebaris tetapi setelah dinaik taraf, ia kini mampu menghasilkan sehingga 189 hp @ 12,500 rpm dan 111 Nm @ 10,500 rpm bagi model SP (dalam gambar). Ini bersamaan lebih 11 hp berbanding model sebelum ini dan lebih ringan sebanyak 2 kg (enjin sahaja).

Motosikal baru ini juga lebih canggih, dilengkapi dengan sistem pengiraan inertia 5 paksi (5 axis IMU) yang dapat mengesan apa sahaja perbuatan atau kedudukan motosikal tersebut. Dari situ, data yang ada boleh dikumpul untuk membantu pengiraan sistem lain seperti Suspension Control Unit (mengawal tekanan dan lantunan suspensi), Rear Lift Control (mengelakkan tayar belakang terangkat semasa membrek kuat) dan Cornering ABS. Bagi tetapan Suspension Control Unit, pemilik boleh memilih sama ada tiga tahap Active (pengiraan dan campur tangan automatik mengikut keadaan) ataupun tiga tahap manual (tetapan sendiri).

Selain itu, CBR1000RR Fireblade SP 2017 juga adalah motosikal Honda berenjin empat silinder yang pertama menggunakan sistem ride-by-wire – menawarkan tiga mod dengan tetapan tertentu bagi penyampaian kuasa, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Engine Brake (EB) dan penyerapan hentakan. Satu lagi mod, USER membolehkan penunggang menetapkan sebarang kedudukan yang diingini.

Berat keseluruhan CBR1000RR Fireblade SP 2017 juga dapat dikurangkan sehingga 14 kg, menjadi 197 kg, hasil penggunaan aluminium pada bahagian tertentu termasuk sub-frame, penutup enjin magnesium, ekzos titanium dan tangki minyak titanium. Bagi ketibaannya di Malaysia, masih terlalu awal untuk Boon Siew Honda membuat keputusan.