Tesla Model S – GreenTech Malaysia mula membawa 10 unit pertama, skim sewaan kini diperincikan

tesla-model-s-malaysia-02_bm

Setelah kerajaan memberi lampu hijau untuk mengimport 100 unit kereta elektrik sepenuhnya keluaran Tesla Motors dari Amerika Syarikat Februari lalu, kini inisiatif yang digalas oleh Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) telahpun bermula. 10 unit Tesla telah mendapat pelepasan dari kastam hujung bulan lalu dan satu unit telah pun dihantar ke pelanggan, manakala dua atau tiga unit lagi juga dijangka turut akan dikeluarkan minggu ini.

Sebelum ini, program sewaan Tesla berkenaan hanya dibuka kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat-syarikat milik kerajaan serta ahli-ahli korporatnya. Namun CEO GreenTech Ahmad Hadri Haris memberitahu paultan.org, menerusi program yang telah dikemaskini, sewaan tersebut kini turut dibuka kepada syarikat-syarikat PLC dan juga syarikat-syarikat multi-nasional (MNC) yang menyertai agenda mesra alam berkenaan.

Ini bermaksud, program sewaan ini diberikan bukan sahaja untuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, ia juga turut memberikan peluang kepada sektor-sektor swasta.

Perubahan turut dilakukan pada pilihan dan harga sewaan, yang kini terbahagi dua. Skim pertama adalah untuk sewaan semata-mata. Untuk ini, GreenTech bekerjasama dengan rakan kongsinya – Insas Pacific Rent-A-Car (PRAC), iaitu syarikat sewaan kenderaan tempatan yang telah ditubuhkan sejak 1985 dimana perniagaan mereka adalah memberikan khidmat sewaan sama ada untuk jangka panjang, harian atau pandu sendiri.

tesla-model-s-malaysia-06_bm

Menerusi program ini, Tesla berkenaan boleh disewa dari dua hingga empat tahun dan boleh dibuat menerusi PRAC GT (Pacific Rent-A-Car GreenTech) iaitu syarikat kerjasama kedua-dua pihak berkenaan. Dua model ditawarkan untuk opsyen sewaan ini iaitu Model S 70 dan juga S 90D. Model S 90D tersebut merupakan versi Model 90 permulaan yang ditawarkan menerusi program ini manakala untuk S 70 pula dijangka akan digantikan dengan model S 75 selepas ini.

Kadar sewa untuk Model S 70 adalah RM10,500 sebulan (untuk tempoh sewaan dua tahun), RM10,250 (untuk tiga tahun) dan RM10,000 (untuk empat tahun). Manakala kadar sewaan untuk Model S 90D pula adalah RM12,500 (untuk dua tahun), RM12,250 (untuk tiga tahun) dan RM12,000 (untuk empat tahun) sebulan.

Kadar berkenaan adalah termasuk insuran tahunan, cukai jalan (hanya RM10 setahun) dan turut merangkumi hubungan M2M (kad SIM untuk berkomunikasi dengan pelayan Tesla dan perkhidmatan lain seperti Google Maps), yuran penyelenggaraan dan servis, penggunaan fasiliti pengecas ChargEV serta pengecas Tesla.

Pilihan kedua pula adalah menerusi program sewa-beli, yang mengambil kesempatan atas pengecualian cukai import dan duti eksais diberikan kerajaan. Menerusi program ini, pelanggan boleh memilih sendiri model yang mereka mahu, membayar sepenuhnya harga kereta tersebut, tetapi pada peringkat permulaan kereta itu tidak menjadi milik pembeli sepenuhnya.

tesla-model-s-malaysia-10_bm

Ini kerana, dalam program inisiatif yang memberikan pelepasan cukai ini disyaratkan kereta tersebut perlu disewa terlebih dahulu sekurang-kurangnya tiga tahun. Selepas tempoh tersebut sekiranya pelanggan mahu memilikinya terus, mereka perlu hanya perlu membayar cukai pemindahan, berdasarkan nilai semasanya. Tambah Ahmad Hadri lagi, jika pelanggan memilih untuk tidak membayarnya, mereka boleh terus untuk menyewa kereta berkenaan.

Tiga model ditawarkan menerusi pilihan ini iaitu Model S 60, Model S 90D dan Model S P80D. Berdasarkan maklumat dari laman web GreenTech buat masa ini, S60 dijual pada harga RM326,055 (harga asas sebuah kenderaan sebelum GST dan caj penghantaran), manakala untuk S 90D pula berharga RM425,205. Untuk P 90D, ia berharga RM509,238.

Kadar untuk caj penghantaran pula ialah RM88,888 (bayaran hanya sekali termasuk CIF, PDI, servis standard percuma melebihi tiga tahun dan waranti penuh dari Tesla, hubungan mudah alih, dan juga pemasangan pengecas rumah Tesla). Setakat ini, yuran sewaan bulanan adalah RM1,388, tetapi Ahmad Hadri menyatakan ia akan ditukar kepada yuran tahunan sebanyak RM500 setahun, termasuk penggunaan percuma stesen pengecas ChargEV.

Semua Model S yang mendarat di Malaysia merupakan model dari versi facelift. Didedahkan pada April lalu, model 2016 ini menampilkan muka hadapan lebih ringkas dengan sepasang lampu hadapan LED adaptif bersama 14 lampu LED berputar dinamik tiga posisi. Model versi kemaskini ini juga diberikan spoiler dagu hadapan, skirt sisi dan valence belakang yang diwarnakan sama dengan warna badan keseluruhan.

Model facelift ini juga turut diberikan pilihan kemasan dan opsyen kelengkapan baharu, termasuk sistem penapisan udara HEPA, kelengkapan standard termasuk skrin sesentuh kapasitif 17-inci untuk sistem infotainmen, sistem navigasi, kamera undur dan lapan-beg udara.

Spesifikasi untuk model S 70 pasaran Malaysia turut menampilkan roda aloi 19-inci Sliver Slipstream, tempat duduk pelbagai-paten berwarna hitam yang hadir bersama kemasan kayu dark ash serta pelapik bumbung Alcantara berwarna putih. Ia juga turut diberikan sistem autopilot serta sistem suspensi udara pintar. Spesifikasi Model S 90D pula adalah sama seperti model S 70 tetapi ia diberikan pelapik bumbung Alcantara berwarna hitam, serta turut diberikan pakej kelengkapan premium.

Tesla Model S 70 dijana oleh motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang berkuasa 315 hp/440 Nm. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Dengan satu cas penuh, sedan elektrik sepenuhnya ini mampu berjalan sejauh 370 km (EPA).

tesla-model-s-malaysia-01_bm

Model S 70 ini adalah seiras dengan dengan model S 85 – yang dibawa ke Malaysia sebanyak dua unit tahun lalu untuk diuji – tetapi dengan kuasa, tork, dan prestasi yang sedikit kurang. Model dengan bateri 85 kW telah pun dihentikan pengeluarannya dan digantikan dengan versi dijana bateri 75 kW, yang mempunyai spesifikasi serupa tetapi dengan jarak perjalanan lebih pendek (hanya 401 km berbanding 426 km untuk versi 85).

Untuk S 90D pula, model 90 kW ini mempunyai bekalan kuasa 417 hp/658 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.2 saat dan kelajuan maksima dicatatkan pada 249 km/j. Ia juga mampu bergerak dalam jarak 473 km dengan satu cas bateri penuh.

Untuk model pacuan semua roda P90D yang dijana dua unit motor pula, ia berkuasa 504 hp (dengan mengambil kira bateri, motor berkenaan sendiri mampu menghasilkan kuasa maksima 691 hp) serta tork maksima 931 Nm. Ia mampu bergerak sejauh 410 km untuk satu cas penuh. Prestasi? pecutan dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 249 km/j.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required