MPV tujuh-tempat Proton Ertiga baharu sahaja dilancarkan bulan lalu. Seperti juga model-model Proton yang lain pasti ada sahaja soalan-soalan yang timbul berdasarkan persepsi-persepsi awal yang setelah spesifikasinya didedahkan.

Menerusi video baharu yang disiarkan oleh Proton ini, syarikat berkenaan menjawab lima soalan popular yang sering ditanya masyarakat tidak kira pada jurujual ataupun yang diutarakan di ruang komen laman-laman sosial mahupun kepada seorang pembeli baharu setelah membawa pulang kereta berkenaan iaitu “Besar mana kereta ni? Berapa orang boleh duduk?” “Air-Cond kuat tak? Orang belakang rasa?” “Safety macam mana? Air-bag dengan ABS ada?” serta dua soalan paling popular; “Minyak kuat tak?” dan “Boleh naik Genting ke?”

Demonstrasi dalam video ini menunjukkan enam orang dewasa mampu dimuatkan dengan selesa dalam MPV berkenaan, termasuk dua orang bersaiz besar pada bahagian tempat duduk barisan ketiga. Untuk masuk ke barisan terakhir juga agak mudah; dengan hanya menolak tuil pada tempat duduk baris kedua, ia boleh dicondongkan dan digelangsarkan ke hadapan.

Ertiga juga diberikan penghembus penghawa dingin berasingan khas untuk kabin bahagian belakang, lengkap dengan unit cooling coil dan suis kawalan kelajuan motor penghembus. Kedudukannya yang ideal juga memberikan hala udara yang tepat untuk penumpang dibaris paling belakang.

Dengan enjin 1.4 liter VVT berkuasa 92 PS/130 Nm, ramai yang mempersoalkan kecekapan enjin berkenaan; kebanyakkan mereka gusar enjin berkapasiti kecil akan menyebabkan ia perlu dikerah dan seterusnya menyebabkan penggunaan petrol berlebihan. Namun hakikatnya, versi transmisi automatik empat-kelajuan Ertiga didakwa mampu mencapai penggunaan petrol 6.0 l/100 km (jika dipandu pada kelajuan tetap 90 km/j). Dakwaan ini bukan sekadar dakwaan ‘masuk bakul angkat sendiri’ dari Proton, kerana Ertiga diiktiraf sebagai MPV EEV pertama di Malaysia.

Penggunaan enjin berkenaan juga mengundang persoalan adakah Ertiga mampu “naik Genting”? Menurut Proton, tiada masalah untuk Ertiga dipandu pada jalan mendaki bukit. Namun, ia adalah sebuah MPV keluarga dan jangan pula anda mengharapkan kuasa seperti sebuah kereta lumba ketika mendaki bukit.

Trend masyarakat sekarang yang sudahpun membuka mata terhadap teknologi menyaksikan persoalan berkisar keselamatan kini telah bertukar dari mengetuk badan kereta untuk menguji kekerasannya kepada pertanyaan “Ada air-bag dengan ABS tak?”. Kesemua varian Ertiga dilengkapi dengan dua beg-udara pada bahagian hadapan, sistem brek ABS dengan EBD serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Kesemua ciri ini membolehkan Ertiga menerima penarafan keselamatan empat-bintang dari ASEAN NCAP.

Sebelum pelancaran Ertiga, kami sendiri telah menguji sendiri MPV Proton Ertiga ini dan anda boleh membaca ulasannya DI SINI. Untuk mereka yang kurang gemar untuk membaca artikel rebiu yang panjang, kami juga ada menghasilkan video berkenaan apa yang perlu anda tahu berkenaan Ertiga DI SINI.