MPV Proton Ertiga dilancarkan – enam-tempat duduk, 1.4 liter VVT, harga bermula RM58,800 – RM64,800

proton_ertiga_launch-2

MPV enam-tempat duduk segmen-B Proton Ertiga secara rasminya dilancarkan hari ini. Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, majlis hari ini telah disempurnakan Pengerusi DRB-Hicom Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Haji Mohd Khamil bin Jamil dengan diiringi CEO Proton Datuk Fuaad Kenali.

Seperti yang disebut dalam perincian terhadap MPV ini minggu lalu, Proton Ertiga merupakan produk hasil perjanjian MoU Proton bersama Suzuki Jun tahun lalu. MPV ini ditawarkan dengan tiga varian iaitu Executive MT dijual pada harga RM58,800, Executive AT berharga RM61,800 manakala varian tertinggi Executive Plus AT pula berharga RM64,800. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran.

Ertiga menampilkan rupa luaran yang seiras dengan kembarnya iaitu Suzuki Ertiga versi facelift untuk pasaran Indonesia. Lampu hadapan MPV ini direka dengan bentuk seakan Swift, mengapit gril dengan tiga jalur krom merentanginya, serta menempatkan logo baharu Proton pada bahagian tengah. Kedua-dua sisi bampar hadapan diberikan lampu kabus dengan perumahnya direka bersambung dengan liang kemasukan udara di bahagian tengah. Khas untuk varian Executive Plus, ia diberikan kemasan jalur krom di atas kedua-dua lampu kabus.

proton_ertiga_plus_ext-7_bm

Executive Plus juga turut diberikan kemasan jalur krom pada perumah lampu kabus hadapan (hanya plastik berwarna hitam untuk varian Executive) dan juga cermin sisi boleh lipat berkuasa lengkap dengan lampu isyarat membelok.

Untuk bahagian belakang pula, Proton turut menggunakan rekaan pintu tailgate Ertiga pasaran Indonesia versi facelift dengan menampilkan reflektor untuk menghubungkan lampu belakang dan kemasan nombor plat krom. Sedikit kelainan pada bampar di mana Proton menggunakan bampar Ertiga versi pre-facelift untuk modelnya dan turut ditambah dengan lampu kabus belakang sebagai memenuhi undang-undang UNR100 yang diamalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Suzuki dan Proton Ertiga dibina diatas platform Suzuki Swift, tetapi telah ‘ditarik’ lebih panjang. Jadi, bentangan sistem suspensinya juga sama seperti Swift, menggunakan topang McPherson pada bahagian hadapan serta torsion beam dan spring gegelung di bahagian belakang.

proton-ertiga-dimensions

Untuk dimensi, panjang keseluruhan MPV kompak ini adalah 4,265 mm, lebarnya 1,695 mm, manakala tinggi pula ialah 1,685 mm. Oleh kerana juntaian (overhang) pada bahagian depan dan belakangnya agak pendek, jarak roda keseluruhan Ertiga mampu direka lebih panjang iaitu 2,740 mm.

MPV segmen-B ini menggunakan enjin sama yang ada pada Suzuki Swift iaitu enjin petrol K14B 1.4 liter DOHC dengan VVT dan sistem suntikan bahan api pelbagai titik, berkuasa 92 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 130 Nm pada takat 4,000 rpm. Enjin ini menampilkan teknologi pendikit drive-by-wire serta menggunakan rantai pemasa (timing chain) yang mengurangkan kos penyelenggaraan berbanding tali sawat pemasa (timing belt).

Dua pilihan transmisi ditawarkan untuk memacu roda hadapan iaitu kotak gear automatik empat-kelajuan dari Aisin atau kotak gear manual lima-kelajuan. Walau bagaimanapun, varian paling tinggi Executive Plus hanya hadir dengan kotak gear automatik.

proton-ertiga-engine

Dengan padanan berkenaan, dengan ujian yang dilakukan pada kelajuan purata 90 km/j, Ertiga manual menggunakan 5.7 liter petrol untuk perjalanan 100 km, manakala 6.0 liter/100 km bagi versi automatik. Pecutan dari 0-100 km/j pula ialah 11.8 saat bagi versi manual, sementara versi automatik mencatatkan masa 13.9 saat. Ertiga juga diiktiraf sebagai MPV kompak pertama di Malaysia yang menerima penarafan EEV, menjanjikan penggunaan bahan api yang benar-benar efisien.

Bahagian dalaman kabin MPV ini menampilkan gabungan warna beige dan kelabu (Ertiga pasaran Indonesia juga hanya menerima tema yang sama). Papan pemuka Ertiga, termasuk panel instrumen, adalah seiras dengan Swift. Sistem pemain audio Ertiga hadir tanpa skrin infotaimen, dengan hubungan USB dan AUX tetapi tanpa fungsi Bluetooth.

Suis-suis sistem kawalan penghawa dingin manual ini juga merupakan suis putar konvensional tanpa skrin paparan informasi. Dua soket kuasa 12V (satu lagi untuk tempat duduk baris kedua) serta satu port USB diberikan. Roda stereng tiga jejari juga diambil terus dari Suzuki Ertiga/Swift tetapi logo bahagian tengahnya kini telah diberikan logo Proton.

proton_ertiga_plus_int-1_bm

Khas untuk varian Executive Plus, ia diberikan sepasang unit tweeter ditempatkan pada kedua-dua sudut papan pemuka, tempat duduk pemandu dengan ketinggian boleh laras, poket pada bahagian belakang kedua-dua tempat duduk baris pertama (hanya sebelah untuk varian Executive) kemasan krom pada pemegang pintu bahagian dalam serta suis kawalan audio pada roda stereng.

Untuk sistem penghawa dingan kabin belakang, Ertiga diberi motor penghembus lengkap dengan cooling coil khas yang diletakkan pada bahagian bumbung antara tempat duduk baris pertama dan kedua. Walaupun suhu unit penghawa dingin belakang ini tidak boleh dilaras (kelajuan kipas penghembus masih boleh dikawal), kedudukannya yang ideal dan hembusannya yang kuat mampu memberikan udara nyaman terbaik untuk penumpang yang berada di tempat duduk baris terakhir.

Tempat duduk barisan kedua dan ketiga direka dengan konfigurasi agak fleksibel. Oleh kerana ia dibina sebagai MPV enam-tempat duduk, baris kedua direka hanya dengan dua tali pinggang keledar serta diberikan perehat tangan boleh lipat pada bahagian tengah dan ia turut boleh dianjak sebanyak 240 mm, dan dilipat dengan nisbah 60:40. Akses ke barisan ketiga hanya melalui satu butang sahaja. Sementara tempat duduk barisan belakang pula mempunyai nisbah lipatan 50:50.

Dengan kesemua tempat duduk dibuka, ruang kargo belakang hanya mampu menampung kapasiti 135 liter. Ruang but ini turut diberikan ruang storan tambahan dibawah lantai. Jika tempat duduk barisan terakhir dilipat, kapasiti keseluruhan ruang kargo berkenaan adalah sejumlah 400 liter.

Sebagai ringkasan, berikut merupakan senarai perincian bahagian luaran dan dalaman Proton Ertiga:

Luaran

  • Lampu utama reflektor halogen
  • Lampu kabus depan dan belakang
  • Lampu belakang jenis mentol
  • Gril depan krom
  • Kemasan krom di bahagian belakang, lanjutan daripada lampu belakang
  • Penunjuk lampu isyarat di bahagian fender depan
  • Cermin sisi kawalan elektrik
  • Kunci kawalan jauh
  • Rim aloi 15 inci dengan tayar GT Radial Champiro Eco (185/65/R15)
  • Tayar ganti saiz penuh
  • Dua sensor parkir di belakang
  • Pengilap cermin belakang
  • Empat warna: Merah Ruby, Perang Carnelian, Kelabu Metal dan Putih Cotton.

Dalaman

  • Kemasan dalaman dwi-tona (kelabu dan beige)
  • Roda stereng Polyurethane (boleh laras ketinggian)
  • Unit radio dengan sambungan USB/CD
  • Empat pembesar suara
  • Kluster meter nyalaan belakang dengan fungsi Trip Meter
  • Pendingin hawa manual
  • Pendingin hawa belakang pada bumbung (dengan kawalan kelajuan motor penghembus)
  • Soket kuasa 12V (1 di depan, 1 di barisan tengah)
  • Enam tali keledar 3-poin
  • Fabrik dalam warna beige
  • Ruang storan bawah lantai

Sebagai tambahan dan untuk membezakannya dengan varian-varian lebih rendah, varian tertinggi Ertiga 1.4L Executive Plus AT pula dilengkapi dengan beberapa ciri ekstra seperti berikut:

  • Kemasan krom pada bahagian lampu kabus
  • Cermin sisi kuasa (power-foldable)
  • Lampu isyarat LED pada cermin sisi
  • Penebat bahagian bawah bonet
  • Kawalan audio pada stereng
  • Sepasang tweeter pada papan pemuka (enam pembesar suara semuanya)
  • Larasan ketinggian tempat duduk pemandu
  • Kemasan krom pada pemegang pintu di sebelah dalam
  • Poket di belakang kedua-dua tempat duduk hadapan
  • Filem penapis haba
  • Tingkap anti-pinch pada bahagian pintu pemandu

Untuk keselamatan pula, kesemua varian Ertiga dilengkapkan dengan dua beg udara, ciri ABS dengan EBD, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang. Untuk ini, Ertiga menerima penarafan empat-bintang dari ASEAN NCAP.

Pada majlis pelancaran ini, Proton turut mensasarkan untuk menjual 1,500 unit Ertiga sebulan. Setiap pembelian Proton Ertiga dilindungi dengan waranti selama 5 tahun tanpa had perbatuan. Untuk mereka yang berminat menempah Proton MPV kompak baharu dari Proton ini, anda boleh lawati laman Carbase.my untuk spesifikasi penuh serta bantuan dari penasihat jualan.

Bagaimana pula prestasi model terbaharu dari Proton ini? Kami telah pun memandu ujinya di litar ujian Proton minggu lalu dan anda boleh membaca ulasan kami di sini.

GALERI: Proton Ertiga 1.4L Executive Plus

GALERI: Proton Ertiga 1.4L Executive

GALERI: Gambar rasmi Proton Ertiga

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Zaihan on Nov 24, 2016 at 2:29 pm

    Good…

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • Proton savvy ex user. on Nov 24, 2016 at 7:08 pm

    Minta maaflah cakap ni ye.
    Suzuki di malaysia takda value. Proton silap percaturan. Minta perbaiki segera. Terima kasih.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 21
  • Lembapnya.makin baru,semakin rendah kuasa kuda.91 hp ja?teruknya…pakai enjin kecik,bubuhla turbo mcm exora.proton selalu ada kekurangan.baru nak angkat exora bold,sekali baca thread,ramai komen negatif.trus xjd.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 4
    • salahkan suzuki lah… proton mana tahu suzuki keluarkan eriga downgrade enjin sampailah ianya diumukan di indon

      Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Zabedah bt abd rahman on Jul 02, 2017 at 2:00 pm

    Saya suka kereta buatan melaysia sbb sya guna kereta buatan melaysia mmang terbaik….

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 1
 

Add a comment

required

required