Proton Ertiga – perincian dan penawaran bagi setiap varian; enjin 1.4 liter, ASEAN NCAP empat bintang

Dengan pengenalan secara rasmi MPV kompak Proton Ertiga yang akan berlangsung pada minggu hadapan, maka lengkaplah barisan empat model baharu yang ingin diperkenalkan oleh Proton bagi tahun 2016.

Tidak seperti model Persona dan Saga yang merupakan produk “asli” Proton, Ertiga mengiringi Perdana sebagai sebuah model yang dijenamakan semula (rebadge). Ia model dengan spesifikasi yang hampir sama dengan model asalnya, iaitu Suzuki Ertiga – yang sudah dipasarkan di Indonesia ketika ini.

Dan, khabarnya, tidak banyak perkara yang diubah oleh Proton melainkan gril dengan logo di hadapan (dan semua bahagian lain yang melibatkan logo Proton). Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman awal kami memandu uji Ertiga di litar ujian Proton serta serba sedikit maklumat teknikalnya, sila rujuk laporan pandu uji ringkas ini.

proton-ertiga-engine

Seperti dicadangkan oleh tajuk di atas, artikel ini akan memberi tumpuan kepada pilihan varian yang ditawarkan serta spesifikasi yang membezakan di antara setiap satunya. Secara umum, Proton Ertiga ditawarkan di dalam tiga varian; Ertiga Executive MT, Ertiga Executive AT dan Ertiga Executive Plus AT.

Bagaimanapun, bagi varian Executive MT dan Executive AT, kedua-duanya berkongsi senarai spesifikasi yang sama melainkan penggunaan sistem transmisi manual dan satu lagi transmisi automatik. Untuk itu, di dalam senarai yang akan digunakan selepas ini, kedua-duanya dikelompokkan sekali bagi tujuan memudahkan penjelasan tentang spesifikasi yang melengkapinya.

Proton Ertiga menggunakan enjin sama yang ada pada Suzuki Swift; iaitu 1.4 liter K14B janaan petrol. Ia mampu menghasilkan kuasa 92 PS pada 6,000 rpm manakala tork 130 Nm pada 4,000 rpm. Merupakan enjin DOHC dengan pemasa injap boleh ubah serta penggunaan metal timing chain, ia turut dilengkapi sistem suntikan multi-point, pendikit drive-by-wire serta transmisi automatik empat kelajuan (Aisin) atau manual lima kelajuan.

proton-ertiga-dimensions

Penggunaan minyaknya pula, dengan ujian dalam kelajuan purata 90 km/j ialah seperti berikut; 5.7 liter/100 km bagi versi manual, manakala 6.0 liter/100 km bagi versi automatik. Bacaan pecutan 0-100 km/j pula ialah 11.8 saat bagi versi manual, sementara versi automatik mencatatkan masa 13.9 saat.

Proton Ertiga dibina menggunakan platform dari Suzuki Swift yang dilanjutkan. Dimensi keseluruhan Ertiga adalah seperti berikut; 4,265 mm panjang, 1,695 mm lebar dan 1,685 mm tinggi. Jarak antara roda pula ialah 2,740 mm, dengan legaan dari permukaan tanah 185 mm.

Berat bagi versi manual ialah 1,175 kg, manakala berat bagi versi automatik pula ialah 1,185 kg. MPV kompak ini mempunyai keupayaan radius pusingan 5.2 meter. Selain itu, kapasiti tangki minyaknya ialah 45 liter.

Sistem suspensinya menggunakan jenis MacPherson Struts untuk bahagian depan, sementara di belakang menggunakan jenis Torsion Beam. Bagi brek, bahagian depan menggunakan brek cakera dan di belakang menggunakan brek dram.

Tempat duduk barisan kedua dan ketiga juga agak fleksibel. Bagi barisan tengah, ia boleh dianjak sebanyak 240 mm, dengan nisbah lipatan 60:40. Akses ke barisan ketiga hanya melalui satu butang sahaja. Turut dilengkapi dengan perehat lengan, barisan ini disediakan dengan dua tapak Isofix. Sementara tempat duduk barisan belakang pula mempunyai nisbah lipatan 50:50.

Berikut merupakan senarai perincian bahagian luaran dan dalaman yang melengkapi model Proton Ertiga:

Luaran
Lampu utama reflektor halogen
Lampu kabus depan dan belakang
Lampu belakang jenis bulb
Gril depan krom
Kemasan krom di bahagian belakang, lanjutan daripada lampu belakang
Penunjuk lampu isyarat di bahagian fender depan
Cermin sisi kawalan elektrik
Kunci kawalan jauh
Rim aloi 15 inci dengan tayar GT Radial Champiro Eco (185/65/R15)
Tayar ganti jimat ruang
Dua sensor parkir di belakang
Pengilap cermin belakang
Empat warna: Ruby Red, Carnelian Brown, Metal Grey dan Cotton White

Dalaman
Kemasan dwi-tona warna (kelabu dan beige)
Roda stereng Polyurethane (boleh laras ketinggian)
Unit radio dengan sambungan USB/CD
Empat pembesar suara
Kluster meter nyalaan belakang dengan fungsi Trip Meter
Pendingin hawa manual
Pendingin hawa belakang pada bumbung (dengan kawalan tahap kekuatan angin)
Soket kuasa 12V (1 di depan, 1 di barisan tengah)
Enam tali keledar 3-poin
Fabrik dalam warna beige
Ruang storan bawah lantai

logo-white_protonertiga_bm

Sebagai membezakan varian Ertiga 1.4L Executive Plus AT pula, ia dilengkapi dengan beberapa ciri dan kemasan tambahan. Antara kelengkapan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Kemasan krom pada bahagian lampu kabus
Cermin sisi kuasa (power-foldable)
Lampu isyarat LED pada cermin sisi
Penebat bahagian bawah bonet
Kawalan audio pada stereng
Dua dashboard tweeter (enam pembesar suara semuanya)
Larasan ketinggian tempat duduk pemandu
Kemasan krom pada pemegang pintu di sebelah dalam
Poket di belakang tempat duduk hadapan

Dari segi aspek keselamatan, Ertiga menerima penarafan empat bintang bagi ASEAN NCAP. Antara lain, ia juga dipasangkan dengan dua beg udara, ciri ABS dengan EBD serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

GALERI: Suzuki Ertiga bagi pasaran Indonesia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required