Mungkin ramai yang merasakan kehadiran Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) di dalam pasaran motosikal tempatan agak sepi sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. Jika diukur dari momentum pengenalan model-model baru yang menarik perhatian umum, memang ada kekurangannya.

Bukannya tak ada model baru, atau lanjutan varian dari model sedia ada oleh Modenas. Sebagai contoh, kapcai Modenas CT115S diperkenalkan pada 2015. Tetapi, dengan pesaing-pesaing lain dalam pasaran yang begitu giat memperkenalkan jentera-jentera dari kategori baru (misalnya motosikal berkapasiti 150 cc), Modenas kelihatan agak ketinggalan dalam merebut dan memenangi tanggapan pengguna umum.

Sekali lagi, berkenaan enjin 150 cc, bukannya Modenas tidak bergerak ke arah itu. Pengeluar motosikal nasional ini pernah menyuarakan keinginan mereka untuk memperkenalkan enjin berkenaan sebelum ini. Namun, sehingga kini ia masih lagi belum dipasarkan. Dalam tempoh itu juga, Yamaha dan yang terbaru Honda, terlebih dahulu masuk pasaran dengan barisan model 150 cc mereka.

Mengapa ambil masa yang lama? Enjin 150 cc berkenaan dibangunkan sendiri oleh Modenas, bukannya diambil atau disediakan oleh pengeluar lain. Ia juga menghimpunkan tenaga dan kepakaran tempatan di dalam proses pembangunannya. Kali terakhir kami tanyakan kepada Modenas sendiri, model dengan enjin 150 cc dijangka akan diperkenalkan dalam tahun ini, mungkin seawal April nanti.

Walaupun begitu, model-model sedia ada tetap dijual dikedai-kedai; pegangan pasaran tahun lalu juga naik sedikit kepada 9% berbanding 7% pada 2015. Sehinggalah hujung tahun lalu, suasa sedikit berubah buat Modenas ketika syarikat ini mengumumkan kerjasama dengan Kymco dari Taiwan.

Perkembangan itu turut disertai dengan pengenalan tiga model skuter automatik terbaru untuk pasaran tempatan; Modenas Karisma 125, Modenas Elegan 250 dan Kymco Downtown 250i. Ketiga-tiga model ini lahir dari usahama berkenaan, dengan dua model di’rebadge’ dan dijual menggunakan jenama Modenas.

Apa yang berlaku terhadap Modenas sebenarnya? Dalam bahasa mudah, syarikat ini sedang melalui fasa perubahan dalaman untuk menjadikannya lebih berdaya saing, bersama pihak pengurusan tertinggi yang baru, yang kini diterajui oleh Amirudin Abd Kadir selaku Ketua Pegawai Eksekutif, sejak dua tahun lalu.

Tentang kerjasama dengan Kymco, ia bukanlah sekadar melibatkan hal-hal rebadge motosikal jenama Taiwan itu untuk dijual di Malaysia. Itu hanya satu perkara daripada sebuah gambaran yang lebih besar. Antara yang turut ingin dimanfaatkan daripada kerjasama ini ialah perkongsian atau pemindahan teknologi pembuatan dan pengilangan.

Selain itu, rangkaian pengedar dan juga pembekal Kymco yang berada di seluruh dunia turut menjadi antara kelebihan yang berbaloi untuk diteroka – Modenas tidak hanya ingin membawa masuk produk-produk serta alat ganti ke dalam pasaran tempatan.

Sebaliknya syarikat itu turut mengintai peluang untuk mengeksport kelengkapan, alat ganti dan sebagainya dari pembekal tempatan ke pasaran global. Untuk ini, kita harapkan yang terbaik buat Modenas di dalam meluaskan rangkaian perniagaannya – mereka tidak lagi ingin bergantung kepada produk akhir berupa motosikal dan pasaran tempatan semata-mata.

Baiklah, kita tinggalkan dulu Modenas bersama perancangan-perancangan masa depannya. Buat masa ini, ada eloknya kita melihat kepada model terkini yang ditawarkan oleh Modenas untuk pasaran tempatan. Tunggang uji bagi Karisma 125 sudah pun kami laporkan sebelum ini. Dan kali ini, tumpuan akan diberikan pula kepada Elegan 250.

Elegan 250 diasaskan daripada model Kymco X-Town 300i. Mengapa sesarannya dikurangkan untuk pasaran Malaysia? Ia mungkin bertujuan untuk menarik pengguna yang memiliki lesen 250 cc ke bawah untuk mempunyai akses kepada model ini – jumlah pengguna daripada kelas ini juga tentulah lebih ramai, dan itu memberikan peluang kepada Modenas untuk menarik perhatian lebih ramai pengguna.

Beberapa ciri menarik skuter ini yang perlu dinyatakan; antaranya ialah sistem kawalam brek empat peringkat, papan pemuka, atau paparan meter ialah dari jenis LCD serta lampu belakang LED dengan rekaan yang menarik dan terang. Oh ya, sebelum terlupa. Elegan versi sebelum ini hadir dengan sesaran 200 cc. Bagi penawaran dalam pasaran kini pula, hanya SYM yang mempertaruhkan dua model, VTS 200 dan Symphony Evo 250i.

Hujung Januari lalu, kami sempat mengikuti sesi tunggang uji yang dianjurkan Modenas dari Glenmarie ke Melaka, bersama barisan jentera semasa yang ada, termasuk Elegan 250. Sebelum itu juga, kami juga sempat mencuba skuter saiz besar ini untuk beberapa hari, kebanyakannya digunakan sebagai kaedah pengangkutan harian di dalam bandar Kuala Lumpur. Untuk itu, kami kongsikan sedikit sebanyak pandangan berdasarkan pemerhatian dan pengalamanan yang sempat dilakukan.

Dari aspek rekaan dan saiz, Elegan 250 memiliki saiz yang besar. Sesetengah orang menggelarkan skuter dengan saiz dan rekaan seperti ini sebagai sebuah skuter ‘maxi’. Sekadar rujukan, berikut dimensinya; 2,235 mm panjang, 810 mm lebar, 1,375 mm tinggi, 1,540 mm jarak roda dan 135 mm kelegaan tanah (tanpa beban).

Saiz yang besar begini akan memberikan keselesaaan kepada penunggang dan juga pembonceng. Ini memang tidak dinafikan. Dari segi praktikaliti, ia membolehkan skuter ini menyediakan ruang barangan yang sangat luas di bahagian bawah tempat duduk; dua topi keledar boleh disimpan dalam satu-satu masa – sebuah full face, dan sebuah lagi helmet biasa boleh dimuatkan. Jadi, soal ruang untuk membawa barangan, itu tidak menjadi masalah dengan skuter ini.

Tetapi, ketika tunggangan dalam bandar, dengan keadaan trafik sesak, adalah sedikit sukar untuk mengendalikan skuter ini dengan bersahaja. Dalam kelajuan rendah dan terpaksa mengelak kenderaan lain untuk menyusul di antaranya, terasa skuter ini sedikit berat, tambahan pula sekiranya membawa pembonceng.

Tetapi, itu bukanlah satu masalah besar; penunggang yang sudah biasa dengan ciri fizikal dan maklum balas skuter ini tentu dapat menyesuaikan diri selepas beberapa waktu menunggang. Untuk makluman, berat bersih Elegan 250 ini ialah 193 kg.

Dari segi prestasi, skuter ini menggunakan enjin suntikan minyak, dengan kapasiti 249.1 cc empat-lejang, dua injap SOHC dengan sejukan cecair yang menghasilkan kuasa 22.1 hp pada 7,000 rpm dan 22.4 Nm pada 6,500 rpm. Ia digandingkan dengan sistem transmisi CVT. Nisbah mampatannya ialah 10.8:1. Kapasiti tangki minyaknya pula ialah 12.5 liter.

Angka-angka ini dari satu sisi menjadi kelebihan juga kepada Elegan 250; dengan tangki minyak yang besar dan kuasa yang memadai begini secara umumnya mencadangkan kepada kita bahawa ia sebuah jentera automatik yang sangat serasi untuk perjalanan jarak jauh. Dan, ini juga sempat kami rasai di dalam sesi tunggang uji ke Melaka tempoh hari.

Di laluan lebuhraya yang panjang dan luas, Elegan 250 memberikan tunggangan yang sangat selesa. Tempat duduknya yang tebal dan bertingkat – berasingan untuk penunggang dan pembonceng, ruang kaki yang memuaskan, maklum balas pendikit minyak yang responsif serta kemampuan brek yang cekap memberikan keyakinan untuk penunggang meluncur laju.

Dalam suasana tunggangan seperti ini, barulah berat dan saiz yang ada padanya menjadi antara aspek yang sangat-sangat dihargai. Antara lain, ia memberikan kestabilan dan keseimbangan tunggangan yang mantap. Tambahan pula, hari itu cuaca hujan menemani perjalanan kami sepanjang hari.

Permukaan jalan yang licin tidak begitu menggusarkan, tentulah dengan tunggangan santai dan berhemah. Bagi tayar, skuter ini menggunakan saiz 120/80 14 inci untuk bahagian depan, manakala 150/70 13 inci untuk bahagian belakang.

Brek cakera juga melengkapi kedua-duanya; cakera dengan diameter 260 mm di depan, dan 240 mm di belakang. Turut menyumbang kepada keselesaan dan kestabilan tunggangn ini ialah sistem suspensi yang digunakan – jenis teleskopik di depan, sementara jenis lengan ayun di belakang – seperti kebanyakan motosikal lain.

Jadi, Modenas Elegan 250 ini sesuai untuk siapa? Kami fikir, ia memang direka untuk kegunaan perjalanan jauh melebihi kegunaan sekadar di dalam bandar. Ini kelebihan yang kami rasakan ada pada skuter ini. Jika anda menunggang dalam jarak yang agak jauh di dalam melakukan urusan seharian. Juga, sekiranya kini anda menunggang sebuah kapcai dan kerap bergerak dalam jarak yang jauh, mungkin anda boleh mencuba beralih kepada skuter ini.

Betul, ramai yang beranggapan bahawa skuter bukanlah pilihan popular bagi ramai pengguna di Malaysia, kerana kosnya atau kepuasan menunggang, dan kapcai masih lagi mendominasi pasaran tempatan dengan jumlah jualan yang tinggi. Tetapi untuk keselesaan, inilah antara model yang mendahului. Dengan harga RM13,599 termasuk GST, Modenas Elegan 250 ini hadir dengan pakej yang sangat menarik, termasuk jika dibandingkan dengan penawaran skuter di bawah 250 cc.