Modenas Karisma 125, Elegan 250 dan Downtown 250i dilancar – tiga skuter hasil kerjasama dengan Kymco

modenas-launch-bm-1

Selepas Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) dilantik sebagai pengedar eksklusif motosikal jenama dari Taiwan iaitu Kymco, kini tiga buah motosikal jenis skuter diperkenal sebagai permulaan. Ia adalah Karisma 125, Elegan 250 dan Kymco Downtown 250i. Bagi Karisma 125 dan Elegan 250 baru ini, walaupun ia menggunakan nama yang sebelum ini pernah digunakan pada model Modenas, disebaliknya juga adalah motosikal Kymco.

Karisma 125 adalah sebuah skuter yang diasaskan daripada model Kymco Ace 9, dan ia menggunakan enjin 124.6 cc cc satu silinder berpenyejukan udara yang mampu menghasilkan 9.4 hp pada 7,500 rpm dan 9.0 Nm tork pada 5,000 rpm. Enjin ini menggunakan sistem bahan api karburetor dan dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

Berat keseluruhan motosikal ini adalah 113 kg dan suspensi yang digunakan adalah daripada jenis fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak yang disambung pada lengan ayun di belakang. Melengkapkannya adalah rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera tunggal 220 mm di hadapan dan brek dram di belakang. Tangki minyak yang disediakan pula boleh memuatkan 4.6 liter bahan api dan di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan yang boleh menempatkan sebuah helmet.

modenas-karisma-125-bm-11

Elegan 250, sebuah motosikal yang menggunakan asas daripada Kymco X-Town 250i pula menggunakan enjin 249.1 cc satu silinder berpenyejukan cecair SOHC, dan secara maksimum, ia boleh menghasilkan 22.1 hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api dan digabungkan dengan transmisi automatik CVT.

Berat keseluruhan Elegan 250 adalah 191 kg dan pada bahagian hadapan, terdapat fork teleskopik bersama brek cakera 260 mm, rim 14 inci dan tayar 120/80 manakala di bahagian belakang pula, terdapat dua penyerap hentak, rim 13 inci dan tayar 150/70. Ruang simpanan di bawah tempat duduknya boleh memuatkan dua buah helmet sementara tangki minyak pula berkapasiti 12.5 liter.

modenas-elegan-250-bm-1

Selain dua buah motosikal yang menggunakan lencana sendiri ini, Modenas turut melancarkan Kymco Downtown 250i untuk pasaran Malaysia. Model ini menggunakan enjin 246 cc silinder tunggal berpenyejukan udara yang mampu menghasilkan 23 hp pada 7,750 rpm dan 23.1 Nm pada 6,000 rpm.

Selain rekaan berbeza, motosikal ini juga mempunyai beberapa kelebihan berbanding Elegan 250 termasuk empat injap pada silindernya (DOHC), berat 191 kg, jarak roda lebih panjang (+13 mm) dan brek ABS. Kelengkapan lain seperti suspensi, rim dan tayar adalah sama.

kymco-downtown-250i-bm-3

Harga termasuk GST untuk model baru ini adalah masing-masing RM5,278 untuk Karisma 125, RM13,599 untuk Elegan 250 dan RM22,790 untuk Kymco Downtown 250i. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km, mana yang dahulu.

Untuk pasaran Malaysia, semua model ini akan dipasang di Gurun, Kedah dan Modenas akan berusaha untuk meningkatkan lagi jumlah komponen keluaran tempatan padanya. Pada masa hadapan, Modenas akan melancarkan lebih lagi model bersama Kymco ini dan paling hampir adalah Xciting 400i yang dijangka berlaku pada tahun hadapan. Selain itu, EMOS juga akan berusaha mengembangkan lagi rangkaian pengedar dan sokongan Kymco di serata negara dan kini, 30 pengedar eksklusif telah pun dilantik termasuk di Sabah dan Sarawak.

GALERI: Modenas Karisma 125

GALERI: Modenas Elegan 250

GALERI: Kymco Downtown 250i

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required