Selepas China, Korea Selatan dan beberapa lagi negara Eropah, kini Jepun pula ingin turut serta membida bagi projek keretapi kelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura. Menurut laporan The Sun, Jepun sudah bersedia untuk masuk mencadangkan teknologi keretapi kelajuan tinggi terbaik negara itu atau lebih dikenali sebagai Shinkansen.

Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyakawa memberitahu,”kami senang hati untuk turut melatih pakar serta melakukan pertukaran teknologi untuk sistem sama seperti yang digunakan pada Shinkansen, untuk Malaysia dan Singapura. Kami sedia untuk memberikan data, cadangan dan pilihan terbaik untuk projek ini.”

Beliau juga menyatakan sistem Shinkansen adalah terbukti dalam aspek operasi dan keselamatan. “Terdapat pelbagai kelebihan pada Shinkansen, antaranya, sejak beroperasi sepanjang 50 tahun, tiada sebarang insiden kematian yang berlaku. Servis Shinkansen boleh dipercayai dan cukup cekap, memandangkan purata kelewatannya hanya satu minit setiap tahun,” kata Miyakawa.

Disember lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian untuk melaksanakan projek HSR. Pembinaannya dijangka bermula pada tahun 2018, dan akan lengkap menjelang tahun 2025. Pada tahun seterusnya, ia dijangka mula beroperasi.

Secara keseluruhannya, ia akan melibatkan laluan sepanjang 350 km (335 km di dalam Malaysia dan 15 km di Singapura), dan di antaranya akan terdapat lapan hentian iaitu Singapura, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Seremban, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Satu jambatan merentasi Selat Johor dengan ketinggian 25 meter akan menyambungkan laluan antara dua negara ini.

Setiap keretapi dijangka mempunyai 10 gerabak, dengan kapasiti yang boleh mencecah 100 orang penumpang bagi setiap gerabak. Laju purata pula dijangka sekitar 300 km/j dan menjadikan masa pergerakan antara Kuala Lumpur dan Singapura hanya 90 minit.