Audi Q8 Sport tunjuk kemampuan teknologi di Geneva

Audi Q8 Sport tunjuk kemampuan teknologi di Geneva

Pada bulan Januari, Audi menampilkan buat pertama kali kenderaan konsep bernama Q8 di Detroit, yang dikata bakal memberi gambaran kepada model SUV perdana masa hadapan mereka. Dua bulan berikutnya, satu model yang membawa perspektif baru diperkenalkan, dengan nama Q8 Sport di Geneva Motor Show.

Kebanyakan dimensi bahagian luar kenderaan ini masih lagi sama, dengan panjang 5.02 meter dan tinggi 1.7 meter. Bezanya cuma lebar – bila dibandingkan dengan Q8, lengkung roda pada Q8 Sport ini dilebarkan sehingga 12 mm, menjadi 2.05 meter.

Q8 Sport diserikan dengan warna Krypton Orange, bagi unit pameran ini, sambil mengekalkan gril Singleframe oktagon seperti Q8, tetapi kemasan yang berbeza. Unit ini mempunyai struktur honeycomb bersama aluminium dan disudahi dengan warna yang kontras. Bahagian dalam juga sama, cuma Q8 Sport dilihat mempunyai lebih banyak kemasan aluminium.

Audi Q8 Sport tunjuk kemampuan teknologi di Geneva

Sementara itu, pada bahagian tempat duduk, ia dihiasi dengan kemasan gabungan kulit Fine Nappa dan Nubuck, kedua-duanya dalam warna pastel dan perak. Turut disertakan adalah Audi Virtual Cockpit, skrin paparan 12.3 inci TFT beresolusi 1920 x 720 dengan beberapa mod, dan ia boleh ditukar menggunakan butang di stereng.

Q8 Sport dikuasakan oleh enjin 3.0 liter TFSI enam silinder turbo, digabungkan dengan compressor kuasa elektrik dan sistem mild hybrid yang dikatakan sebagai yang pertama oleh Audi. Starter generator untuk sistem kuasa ini terletak di antara crankshaft dan transmisi – dan ia mengendalikan proses pemulihan kuasa. Jika perlu, ia boleh beroperasi pada arah bertentangan sebagai motor elektrik tambahan.

Untuk compressor kuasa elektrik pula, ia terletak di laluan pintasan bawah intercooler, dan sebagai ganti kepada roda turbin, ia menggunakan motor elektrik yang kompak, mampu mempercepat roda compressor enjin sehingga 70,000 rpm dalam masa kurang daripada 250 milisaat.

Audi Q8 Sport tunjuk kemampuan teknologi di Geneva

Ini memberikan tolakan tambahan bagi Q8 Sport, dengan memberikan enjin ini lebih banyak udara bersih dan menyokong sistem pengecas turbo apabila gas ekzos tidak cukup untuk menghasilkan kitaran kuasa dengan pantas. Apabila tidak dipaksa untuk pecutan tambahan, sistem ini akan membantu mengelakkan penukaran kepada gear rendah sekiranya tidak perlu.

Jumlah kuasa daripada sistem ini adalah sedikit tinggi berbanding sistem plug-in hybrid yang ada pada Q8, iaitu 476 hp, berbanding 448 hp pada Q8. Tork pula masih sama iaitu 700 Nm. Ia digabungkan dengan transmisi Tiptronic lapan kelajuan, dan kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui sistem AWD Quattro tetap.

Catatan prestasi juga lebih baik berbanding Q8, di mana Q8 Sport mampu memecut ke kelajuan 100 km/j dalam masa 4.7 saat (5.4 saat pada Q8), manakala laju maksimum pula adalah 275 km/j (250 km/j pada Q8). Jarak operasi juga meningkat menjadi 1,200 kilometer, iaitu 200 km lebih berbanding Q8.

Q8 Sport yang menggunakan rim 23 inci dan tayar 305/35 ini dilengkapi dengan suspensi udara sport dan ia boleh dilaras dalam pilihan lima jarak kelegaan dari tanah dan mempunyai beza tinggi sehingga 90 mm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required