Mitsubishi dan Nissan kini sedang melihat kepada kemungkinan untuk bekerjasama membangunkan trak pikap untuk negara Asia Tenggara, kata seorang eksekutif kanan, di dalam laporan Reuters. Langkah ini adalah untuk meningkatkan penjimatan di dalam pakatan Nissan-Renault, yang sebelum ini dilaporkan bahawa Nissan membeli 34% kepentingan dalam Mitsubishi.
Ketua pegawai operasi Mitsubishi, Trevor Mann memberitahu bahawa model pengganti kepada Nissan Navara dan Mitsubishi Triton ini boleh berkongsi struktur binaan yang sama, meskipun mempunyai gaya luar yang berbeza. Ini adalah sama seperti apa yang dilakukan pada Renault Alaskan dan Navara NP300.
Walaubagaimanapun, Mann memberitahu bahawa platform pikap Mitsubishi yang akan menjadi asas kepada model masa hadapan ini, dan bukannya model Nissan. “Jika melihat kepada prestasi kos di dalam benua tersebut, kami adalah penanda arasnya, dalam pakatan ini. Teknologi pacuan empat roda kami, dan asas kos untuk pikap adalah lebih baik berbanding Nissan,” kata beliau.
Merujuk kepada pasaran Thailand, kilang Nissan dan Mitsubishi pada masa ini mengeluarkan trak pikap ladder frame dan kereta biasa pada barisan pengeluaran yang berlainan. Langkah menggunakan struktur sama akan membenarkan kilang Mitsubishi untuk fokus kepada pengeluaran pikap, manakala kilang Nissan akan fokus kepada mengeluarkan kereta dan SUV. Mann memberitahu bahawa ini juga akan membantu meningkatkan produktiviti kedua-dua belah pihak, tetapi masig belum ada keputusan yang dibuat pada masa ini.
Sebelum ini, ahli pakatan Nissan-Mitsubishi telah bersetuju untuk memperkukuh semua platform kenderaan elektrik mereka, yang mana akan mmembantu mengurangkan kos pengeluaran kenderaan elektrik dengan memanfaatkan skala ekonomi. Renault dan Mitsubishi akan menggunakan platform sama sebagai asas kepada kenderaan elektrik generasi seterusnya Nissan Leaf.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.