PANDU UJI: Reviu Nissan NP300 Navara di Malaysia

Nissan-NP300-Navara-25

Jika dahulu penerimaan orang ramai terhadap kenderaan trak pikap hanya sesuai untuk mereka yang sering perlu membawa barangan yang banyak termasuk peniaga, kontraktor, pekerja ladang, serta yang kerap memandu di permukaan jalan yang ekstrem mahu pun off-road. Namun kini, ia telah berubah di mana trak pikap ini turut sesuai digunakan sebagai pengangkutan harian atau pun yang gemarkan gaya hidup yang lasak.

Sejak persepsi terhadap trak pikap ini berubah, pengeluar kenderaan sebegini turut mengubah arah rekaan mereka supaya kelihatan lebih bergaya, ditambah pula dengan adaptasi pelbagai teknologi dan menambah baik elemen pengendaliannya.

Pada 26 November yang lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah pun melancarkan model Nissan NP300 Navara baharu untuk pasaran Malaysia. Ia digambarkan sebagai ‘pikap paling unggul’ kerana memiliki fleksibiliti untuk menjadi kenderaan yang boleh dipercayai dan lasak dalam melaksanakan tugas. Dalam masa yang sama, ia menjanjikan keselesaan dan ruang yang luas untuk kegunaan riadah dan perjalanan di hujung minggu. Ia ditawarkan dengan enam iaitu VL, V, SE A/T, SE M/T, E dan Single Cab.

Nissan-NP300-Navara-13

Bagi mengetahui sejauh mana kehebatan NP300 Navara baharu ini, kami telah melenjan pikap ini dalam pemanduan secara off-road dan corak perjalanan biasa iaitu untuk kegunaan seharian sama ada merentas lebuh raya mahu pun di bandar. Dengan diberi unit pandu uji varian tertinggi iaitu VL, cetusan rasa yang tercipta mencorakkan kepelbagaian gambaran.

Jika dilihat daripada imej yang dipertaruhkan, sememangnya ia mudah menambat perhatian. Varian VL ini didatangkan dengan lampu utama LED berbentuk boomerang yang lengkap dengan lampu nyalaan siang (DRL) merupakan yang pertama dalam kelasnya. Ia turut disertakan dengan rim aloi dua-tona 18-inci, sementara varian lain sekadar unit reflektor halogen biasa dan rim aloi 16-inci (bagi single cab dan double cab varian E hanya rim keluli biasa).

Selain itu, ia turut didatangkan dengan gril signatur ‘V-motion’ Nissan serta menyerlahkan aspek estatiknya. Varian ini juga ditampilkan dengan rel bumbung.

Menjengah bahagian kabinnya, bentangan dalaman Navara ternyata menepati kehendak gaya hidup masa kini. Malah papan pemukanya hasil ilham model X-Trail namun memiliki sentuhan permukaan yang lebih kasar dan keras. Balutan kulit upholstery pula menjadi pilihan bagi tempat duduk, roda stereng dan tombol gear, memberikan cetusan elemen elegan di situ, tetapi hanya untuk varian VL sahaja.

Tempat duduk yang diinspirasikan daripada graviti sifar (Zero Gravity Inspired Seats) yang pertama dalam kelasnya memberi sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan. Varian VL dilengkapi dengan tempat duduk kulit sepenuhnya, manakala lain-lain varian hanya fabrik.

Sementara sudut tempat menyandar untuk tempat duduk belakang yang telah ditambah baik bersama corong pendingin hawa memastikan keselesaan penumpang belakang pada setiap masa.

Skrin warna Advanced Drive Assist Display (ADAD) bersaiz 5.0-inci memaparkan maklumat kenderaan untuk memudahkan pemanduan. Sementara stereng yang sporty bersama butang kawalan memberikan pemandu akses terus ke atas sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari sahaja. Manakala pendingin hawa dua zon dan corong udara di bahagian belakang pula memberikan penyejukan kabin yang optimum.

Ia turut dilengkapi dengan butang kawalan pada roda stereng iaitu untuk audio, sistem bebas-tangan Bluetooth, kawalan kelajuan, kunci pintar bersama butang penghidup/mematikan enjin dan paparan bersaiz 5.0-inci dengan sokongan FM/AM/MP3 (sama seperti model Teana 2.0XL atau 2.5XV), sambungan USB, kamera pandang belakang dan enam pembesar suara.

Selain itu, ETCM turut menawarkan sistem Navigasi Multimedia TCAT dengan skrin sesentuh 7.0-inci bernilai RM3,922 sebagai pilihan, namun ia tidaklah begitu efisien daripada segi operasinya dan tidak banyak berbeza dengan produk yang dijual di luar yang boleh didapati dengan harga yang lebih rendah.

Satu-satunya kekurangan yang terasa tentang bahagian kabin pikap ini ialah sudut kecondongannya lebih kepada sebuah kereta biasa, tidak boleh dilaraskan ketinggiannya secukup yang mungkin, malah ia boleh mendatangkan kurang selesa pada pemandu yang bertubuh tinggi.

Jika anda duduk di tempat duduk belakang sebagai penumpang, tempat duduk yang agak menegak pasti mengundang rasa yang kurang selesa terutamanya jika melibatkan perjalanan yang jauh. Namun corong penghawa dingin (satu-satunya dalam kelasnya) mengurangkan rasa tidak selesa itu, malah elemen ini seakan memberikan sentuhan kemewahan pada pikap ini.

Bagi muatan kapasitinya, Navara double cab ini berukuran 1,503 mm bagi petak kargonya dengan kedalaman 475mm, iaitu kurang sedikit daripada Triton iaitu 1,520 mm dan Ranger (1,549 mm). Navara ini dikatakan mampu membawa muatan seberat satu tan.

NP300 Navara ini mempertaruhkan enjin yang telah ditambah baik iaitu 2.5L Diesel YD25 Nissan dengan sistem geometri boleh ubah (VGS) turbo intercooler. Ia mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 190 PS dan puncak tork 450 Nm pada 2,000rpm iaitu lebih 16 PS dan 47 Nm berbanding model sebelumnya. Nissan turut mendakwa penjimatan bahan apinya juga telah dipertingkatkan sekitar 11%.

Nissan-NP300-Navara-53

Namun kuasa tersebut hanya boleh didapati bagi VL, sedangkan varian lain hanya 163 PS dan 403 Nm, iaitu kurang 11 PS berbanding model sebelum ini. Walau bagaimana pun, varian V dan VL turut digabungkan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan bersama mod manual iaitu pertama dalam kelasnya. Manakala SE hanya auto. Kesemuanya turut didatangkan dengan pacuan 4×4 sebagai standard, termasuk memiliki butang Shift-On-Fly 4×4. Di mana dari pacuan 2WD, boleh ditukarkan pada 4H untuk 4WD ketika memandu di bawah kelajuan 100 km/j. Dari 4H hendak bertukar ke 4LO, kenderaan harus berhenti sepenuhnya (0 km/j).

Jika memandunya di laluan biasa termasuk lebuh raya, untuk mendapatkan kelajuan yang diingini, dari titik pegun atau rev yang rendah, ia seolah mengambil sedikit masa untuk hambatan kuasa. Namun jika sudah mencapai kelajuan yang diingini, kuasanya mudah dikekalkan.

Ia mungkin dipengaruhi oleh kotak gear automatik yang seakan teragak-agak untuk ‘kickdown’, walau pun penukarannya lancar dan cepat. Namun kecederungannya untuk bertahan pada nisbah yang lebih tinggi bagi kecekapan bahan api yang lebih baik.

08 Drive_All-New NP300 Navara

Malah jika memandu dalam kelajuan yang agak tinggi, bunyi bising enjin menyerap masuk ke dalam kabin, biar pun dalam gear yang tinggi. Namun bunyi seretan angin dan tayar agak kurang kedengaran, berbanding model pesaingnya iaitu Ranger.

NP300 Navara baharu ini juga menggunakan Multi-link bersama penyerap hentak bagi suspensi belakangnya. Ia turut dipadankan bersama Independent Double-Wishbone dengan palang penstabilan untuk suspensi hadapan, memberikan pengendalian yang lebih optimum.

Hasilnya, dengan pegas gegelung ini, Navara mampu menyerap kesan hentakan dengan lebuh baik. Dalam kelajuan rendah mahu pun sederhana, ia memang terasa selesa. Namun jika dalam kelajuan yang lebih tinggi, suspensinya terasa agak lembut dan ini kurang sesuai untuk pikap terutamanya jika membawa muatan.

Bagi olengan badannya, ternyata pikap ini berusaha keras untuk mengurangkan kesan yang kurang menyenangkan. Malah daya cengkamannya dan kestabilannya agak optimum berbanding Navara yang lama. Namun kelemahan pada suspensi yang agak lembut itu membuatkan kesan olengannya masih dapat dirasai. Malah pikap ini terasa agak berat bila berada dalam kelajuan yang rendah.

39 Drive_All-New NP300 Navara

Ketika melenjannya di laluan off-road, ia banyak memberi peluang mengenali karakter pikap ini. Meredahi laluan berlopak ternyata tidak begitu menyulitkan. Namun ketika menuruni bukit yang agak licin, keberanian agak teruji. Biarpun ia dilengkapi dengan dilengkapi sistem ciri Active Brake Limited Slip untuk menawarkan cengkaman lebih baik serta meningkatkan kestabilan kenderaan di atas jalan yang licin dengan Bantuan Menuruni Bukit, ia seakan menggelongsor dengan agak mendadak biar pun pedal pendikit tidak disentuh.

Maka kawalan stereng sangat ditagih bagi memastikan pikap ini mampu menuruni bukit dengan keadaan permukaan jalan yang licin lebih selamat. Selain itu, pikap ini turut memiliki sistem Bantuan Mula Mendaki yang dirasakan lebih efektif.

Selain itu, ia turut dilengkapi aspek keselamatan lain termasuklah dua beg udara di bahagian hadapan, cagak tempat duduk kanak-kanak (ISOFIX), Kawalan Dinamik Kenderaan, ABS, EBD, Bantuan Brek dan Sistem Kawalan Cengkaman untuk membantu pemandu agar sentiasa berada dalam kawalan serta dapat mengelakkan daripada bahaya dalam situasi-situasi kecemasan.

Peningkatan elemen yang ketara termasuk banyak perubahan yang dilakukan terhadap NP300 Navara ini boleh dianggap bonus kerana ternyata ia lebih baik berbanding model sebelumnya. Dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM120,800 bagi VL, ia dilihat lebih berbaloi berbanding model Ranger yang lebih tinggi harganya. Malah boleh dikatakan ia bersesuaian dengan NP300 Navara yang digambarkan sebagai Mother Trucker baharu di jalanan.

Manakala varian lain pula berharga RM109,800 bagi varian V, RM102,800 (SE A/T), RM97,800 (SE M/T), RM89,800 (E) dan RM79,000 (single cab). Ia juga hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required