Sebelum operasinya dilancarkan pada Disember 2016, Mass Rapid Transit Corp (MRT Corp) telah menguar-uarkan kadar tambang perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT). Bagi fasa pertama yang melibatkan laluan antara Sg.Buloh ke Semantan, ia ditawarkan pada kadar yang sangat berpatutan; pengguna akan dikenakan RM3.40 bagi keseluruhan perjalanan melibatkan 12 stesen berkenaan bagi kaedah pembayaran elektronik. Sementara itu, bagi bayaran tunai pula kadarnya ialah RM3.90.

Pagi ini, di dalam Persidangan Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semakan kada tambang perkhidmatan tersebut akan dilakukan setiap lima tahun dengan mengambil kira pelbagai kos semasa termasuk overhead, insurans serta penyelenggaraan kenderaan, landasan, stesen dan depoh, laporan Berita Harian.

Katanya lagi, daripada penilaian semula kos semasa yang berkaitan, kerajaan akan mempertimbangkan apa yang bakal diperoleh pihak MRT, sama ada keuntungan atau sebaliknya. Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah itu tidak bermakna kadar tambang akan dinaikkan setiap kali semakan dilakukan.

“Tidak seperti yang dilaksanakan dalam penjanjian konsesi (lebuhraya), kadar tambang bagi MRT tidak dinaikkan, cuma kerajaan hanya melakukan semakan terhadap kos semasa, apa yang boleh membantu mereka (operator) mengendalikan MRT dari segi pengendalian kos.

“Ini kerana kita perlu menambah baik sistem perkhidmatan itu, termasuk memperbaiki dan menyelenggara kemudahan perkhidmatan MRT,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin mengetahui sama ada struktur kadar tambang MRT mengguna pakai struktur kadar tol lebuh raya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) berkaitan dengan keuntungan, Nancy berkata, kerajaan menyedari projek pembangunan MRT tidak akan memberikan semula pulangan pelaburan yang dibelanjakan melalui kutipan tambang, namun sebagai kerajaan bertanggungjawab, pembangunan itu perlu dilaksanakan demi kebajikan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan pelbagai faktor dalam menentukan kadar tambang pengangkutan awam yang berpatutan, adil dan berdaya saing bagi memastikan pengguna mampu menggunakannya dan pada masa sama membolehkan operator terus mapan untuk menyediakan pengangkutan awam yang berkesan.

Malah menerusi penstrukturan semula kadar tambang rel bandar pada akhir 2015, kerajaan mewujudkan rangka kerja yang konsisten, sekali gus berupaya mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu terutama antara perkhidmatan rel bandar iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, KTM, komuter dan MRT.

Katanya lagi, struktur kadar tambang MRT turut menggunakan asas sama iaitu gabungan dua komponen terdiri daripada komponen tambang asas sebanyak 90 sen dan komponen tambang berdasarkan jarak perjalanan per kilometer.

“Kadar tambang berdasarkan jarak per kilometer bagi setiap sistem adalah berlainan kerana setiap perkhidmatan rel ada ciri dan kos operasi tersendiri, kadar tambang bagi perkhidmatan MRT, LRT dan monorel menurun untuk setiap empat atau lima kilometer jarak perjalanan, manakala kadar tambang KTM komuter menurun bagi setiap lima hingga 30km jarak perjalanan,” katanya.