Audi Malaysia telah mengumumkan model baharu Audi A4 1.4 TFSI dan Audi A4 2.0 TFSI Tech bakal berada di bilik pameran Audi mulai 14 April ini. Ia adalah pelengkap bagi barisan Audi A4 yang diperkenalkan pada tahun lalu dengan menyertai lagi dua varian termasuk Audi A4 2.0 TFSI dan Audi A4 2.0 TFSI S line.

Bagi varian A4 1.4 TFSI, ia dijual pada harga atas jalan RM218,900 tanpa insurans. Ia dipadankan dengan enjin petrol 1.4 liter suntikan-terus empat-silinder turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 hp antara 5,000 hongga 6,000 rpm dan tork 250 Nm antara 1,500 hingga 3,500 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear dwi-klac kering S tronic tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan. Dengan pacuan dari 0-100 km/j, ia hanya mengambil masa 8.5 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah sehingga 210 km/j.

Elemen standard yang hadir bersama varian ini termasuklah lampu xenon dengan lampu nyalaan siang LED, roda aloi rekaan kristal 10-jejari 17-inci, kawalan suhu tiga-zon, kulit upholstery, tempat duduk hadapan boleh laras secara elektronik, MMI Navigation Plus dengan MMI Touch dan sistem bunyi Audi bersama 10-pembesar suara. Pilihan warna luaran termasuk Glacier White, Floret Silver, Scuba Blue, Tango Red, Monsoon Grey, Argus Brown dan Mythos Black.

Sementara, varian tertinggi 2.0 TFSI quattro pula berharga RM314,900 dengan pilihan enjin yang lebih berkuasa; 2.0 liter turbo bersama kuasa 252 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 370 Nm pada 1,600 hingga 4,500 rpm. Ia juga didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda kekal quattro binaan Audi, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j (0-100 km/j dalam 5.8 saat). ia juga dipadankan dengan kotak gear dwi-klac kering S tronic tujuh-kelajuan sama seperti 1.4 TFSI.

Bagi elemennya, ia dilengkapi dengan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED, sama seperti 2.0 TFSI, MMI Navigation Plus dengan MMI Touch, paparan berwarna TFT 8.3-inci, roda aloi rekaan “Star” lima jejari-berkembar 18-inci dan kulit/Alcantara upholstery. Ia juga ditawarkan dengan warna yang sama seperti 1.4 TFSi, dan menggantikan Argus Brown bagi Daytona Grey.

Bagi Tech Pack, pakej elemen pilihan bagi varian 2.0 TFSI terdiri daripada lima barangan seperti kokpit maya Audi, lampu utama Matrix LED dengan indikator dinamik, antara muka telefon pintar Audi (Apple CarPlay dan Android Auto), MMI Navigation Plus dengan MMI Touch, sambungan Audi dan kamera belakang. Tech Pack hadir dengan kos tambahan sebanyak RM25,000 bagi 2.0 TFSI, yang dijual pada harga RM248,900, kini keseluruhannya bernilai RM273,900.

Tiada perubahan bagi penjana kuasanya, masih sama dengan unit turbo 2.0 liter yang memberikan kuasa sehingga 190 hp pada 4,200 hingga 6,000 rpm, dan tork 320 Nm pada 1,450 hingga 4,200 rpm. Pacuannya disalurkan menerusi roda hadapan dengan kelajuan maksimum sehingga 240 km/j (0-100 km/j dalam 7.3 saat) dan menerima pilihan warna sama seperti 1.4 TFSI.

Audi Malaysia turut mengumumkan semua varian bagi A4 kini didatangkan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had, yang dipertingkatkan berbanding sebelum ini dengan pakej waranti pengeluar empat-tahun/120,000 km. Penghantaran bagi semua varian dijangka bermula Mei 2017.

Bagi peluang masa terhad sahaja, pelanggan kini boleh menikmati tawaran istimewa bagi barisan A4, di mana varian 1.4 TFSI hanya RM199,000 (penjimatan sehingga RM19,000); 2.0 TFSI Tech Pack hanya RM249,900 (penjimatan RM24,000); 2.0 TFSI quattro pula hanya RM294,900 (penjimatan RM20,000).

Untuk perincian bagi setiap varian B9 Audi A4 serba baharu ini, sila layari CarBase.my.