Susulan daripada kenaikkan duti eksais sebanyak 5% bagi MPV mampu milik oleh kerajaan yang kami laporkan minggu lalu, UMW Toyota kini mengesahkan tiga daripada model MPV/SUV dengan kapasiti 1.5 liter keluarannya akan menerima kenaikkan harga – antara RM3,310 hingga RM6,010.
MPV Toyota Sienta yang sebelum ini ditawarkan dalam dua varian, 1.5G dan 1.5V kini RM4,000 lebih mahal dari sebelumnya. 1.5G yang sebelum ini dijual pada harga RM92,900 kini menjadi RM96,900. Bagi varian 1.5V pula, ia naik dari RM99,900 kepada RM103,900 selepas ini.
Bagi empat varian Toyota Avanza pula, semuanya menerima kenaikkan pada kadar yang berbeza. Varian 1.3E MT naik sebanyak RM3,700 kepada RM75,980 berbanding RM72,280 sebelum ini. Varian 1.5E AT pula naik RM4,010 menjadi RM82,980 berbanding RM78,970. Bagi Avanza 1.5G AT, ia akan dijual pada harga RM84,980, naik sebanyak RM3,310 dari RM81,670. Terakhir, Avanza 1.5S AT pula menerima kenaikan sebanyak RM4,000; menjadi RM87,980 dari RM83,980 sebelum ini.
Kemaskini harga terbaru ini turut melibatkan model SUV dengan enjin 1.5L keluaran mereka, Toyota Rush. Varian 1.5G MT kini naik RM4,990 dari RM104,910 menjadi RM109,900 selepas ini. Rush 1.5G AT pula naik RM6,010 daripada RM106,900, menjadi harga baru RM112,910. Dan yang terakhir, Rush 1.5S AT – naik RM6,000 menjadi RM115,900 berbanding RM109,900 sebelum ini.
Beberapa lagi model MPV mampu milik akan mengikut jejak langkah yang sama. Bagaimanapun, Proton, Perodua dan Honda masih belum mengumumkan senarai harga baru model-model keluaran mereka yang terkesan dengan perkembangan ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.