PANDU UJI: Toyota Sienta 1.5V – banyak kegunaan, pemanduan menyeronokkan, seperti penampilannya

toyota-sienta-1-5v-bm-6

Sering kali penggemar kenderaan jenama Jepun mempersoalkan kenapa ada kenderaan yang dipasarkan di sana tidak sampai ke Malaysia sedangkan ia cukup menarik dan dijangka boleh diterima baik oleh pengguna. Sebetulnya, setiap pasaran adalah berbeza, mempunyai kemahuan yang tersendiri, selain perlu disesuaikan dengan keadaan jalan dan peraturan yang ada di setiap negara. Bagi membawanya ke Malaysia, bukan perkara mudah, ditambah pula ia perlu menepati sasaran jualan tertentu supaya menjadikannya berbaloi.

Tetapi, dalam kes Toyota Sienta, yang asalnya adalah model untuk pasaran domestik Jepun (JDM), ketua jurutera yang membangunkannya, Hiroshi Kayukawa memberitahu mereka memang dari awal sudah merancang untuk memasarkan model generasi kedua di luar Jepun. Beliau juga sudah merasa sendiri pengalaman memandu di negara Indonesia, Thailand dan Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah kajian.

Dan akhirnya Ogos lalu, Toyota Sienta rasmi dilancarkan di Malaysia selepas pra tonton di My Auto Fest 2016 dan di pusat beli-belah diadakan bagi membina kehangatan sebelumnya. Untuk pasaran Malaysia, Sienta yang dipasarkan datang dari Indonesia, dan pastinya, ia mempunyai sedikit perubahan antaranya, mempunyai jarak kelegaan dari tanah 25 mm lebih tinggi berbanding Sienta Jepun, menjadikannya 170 mm.

Dengan badan kompak dan konfigurasi tujuh tempat duduk, pesaing paling dekat Sienta adalah Perodua Alza yang dijual pada harga bermula RM55,332 hingga RM65,432 dan Honda Freed, yang kini tiada lagi model baru yang dikeluarkan oleh Honda Malaysia. Sienta yang kami tampilkan ini adalah model paling tinggi, 1.5V yang dijual dengan harga RM99,900 dan nyata ia mempunyai pelbagai kelebihan daripada aspek spesifikasi. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang, kerana Honda Freed sudah ada model baru yang dilancar di Jepun dan jika Honda Malaysia membawanya ke sini, cabarannya pasti lebih sengit.

toyota-sienta-1-5v-bm-1

Ramai warga di Jepun, terutamanya generasi muda mempunyai gaya yang unik dan berani. Sebagai contoh, anda boleh mengenakan pakaian atau aksesori berwarna terang dan pelik, berjalan di sekitar Shinjuku atau Harajuku, tetapi masih merasa normal kerana ramai lagi yang begitu atau mungkin lebih menonjol. Sienta juga mempunyai persamaan dalam perkara ini. Ia dicipta supaya funky, menonjol dan bergaya.

Dalam negara kita, hanya warna oren dan putih ditawarkan, tetapi di Jepun pelbagai lagi warna terang ada dalam pilihan seperti biru, kuning, merah dan hijau. Bukan semua kenderaan boleh mengenakan warna seperti ini tetapi Sienta nampak padan, menyerlah dengan warna oren tersebut di atas jalan raya Malaysia.

Rekaan diasaskan dari kasut trekking yang diguna pada Sienta berhasil baik untuk menjadikan kenderaan ini bergaya. Dengan tambahan kemasan hitam pada bahagian bampar hadapan dan belakang, Sienta tidak membosankan, malah nampak lebih ceria dan unik. Jika anda memandu kereta ini, anda tidak perlu risau orang akan memanggil ia sebagai ‘kotak bergerak’ atau ‘peti ais’. Bagi model 1.5V ini, ia tambah bergaya dengan adanya rim 16 inci serta LED light guide pada lampu hadapan dan belakang.

Penulis perhatikan, walaupun di Jepun tiada, di Indonesia, Sienta varian lebih tinggi mempunyai skirting tambahan di hadapan, sisi dan belakang. Kit yang menaikkan lagi penampilan sporty ini juga tiada untuk Sienta Malaysia tetapi mana tahu, mungkin pada masa hadapan nanti UMW Toyota akan memperkenalkannya sebagai versi TRD?

Baiklah, cukup dengan bahagian luar. Masuk ke dalam, anda dapat melihat rekaan dengan garisan rumit digunakan pada papan pemuka plastik berwarna hitam dan sedikit kemasan kelabu. Terdapat juga kesan seperti jahitan pada papan pemuka ini, tetapi sebenarnya ia adalah daripada acuan plastik. Ada yang tidak begitu gemar dengan keadaan ini tetapi bagi penulis, ia tidak menjadi masalah.

Papan pemuka ini, walaupun mempunyai rekaan sebegitu, memberi banyak kegunaan pada pengguna. Selain menempatkan butang kawalan, skrin hiburan 6.8 inci dan meter kombinasi Optitron (varian G tiada skrin ini dan meter kombinasi menggunakan jenis back light), ia mempunyai banyak ruang simpanan. Pada bahagian penumpang sahaja ada tiga tingkat ruang simpanan dan di bahagian pemandu pula lebih kepada ruang-ruang kecil untuk barang seperti kad (Touch n Go contohnya), syiling dan telefon.

Bagi varian V ini juga, tempat duduknya dibalut dengan fabrik berwarna oren, berbeza dengan varian G yang menggunakan warna hitam. Tombol gear pula terletak pada konsol tengah (bawah), menjadikan ia berlainan jika dibanding dengan Sienta pasaran Jepun yang tombol gearnya di atas. Ini adalah bagi menyesuaikannya dengan pilihan transmisi manual yang turut ditawarkan di Indonesia, manakala di Jepun hanya ada transmisi CVT sahaja.

Sebaik mengambil unit pandu uji ini di Shah Alam dan masuk ke Lebuh Raya Persekutuan untuk ke Petaling Jaya, penulis menyedari perlu kerap membetulkan stereng bagi memastikan kenderaan di dalam lorong, pada kelajuan sekitar 90/100 km/j. Terasa seperti Sienta terlalu ringan dan walaupun sistem stereng yang digunakan adalah jenis elektrik, tidak mungkin ia akan jadi keterlaluan.

Terus, penulis berhenti di stesen minyak dan memeriksa tayar. Setelah dikurangkan sekitar 15 PSI dan kembali semula ke jalan raya, barulah ia terasa lebih baik. Rasa ringan itu memang ada, apatah lagi Sienta ini adalah sebuah kenderaan bandar, tapi sekurang-kurangnya ia terasa lebih selamat dan senang dikawal.

toyota-sienta-1-5v-bm-5

Seperti yang dikatakan tadi, Sienta adalah kenderaan bandar, badannya kompak (4,235 mm panjang, 1,695 mm lebar dan 1,695 mm tinggi) dan radius pusingan pula adalah 5.7 mm, menyenangkan pengendalian walaupun di dalam kawasan sempit. Anda tidak perlu risau untuk membuat pusingan U dengan satu pusingan penuh sahaja atau meletakkan kenderaan dengan pantas.

Namun, bukan itu sahaja kelebihan Sienta. Jika anda lihat luarannya ceria, pemanduan yang ditawarkan juga menggembirakan. Pengendalian yang mudah itu satu perkara, tetapi penulis juga senang hati dengan kerjasama baik enjin empat silinder 1.5 liter Dual VVT-i berkuasa 107 PS/ 104 Nm dan transmisi automatik CVT yang digunakan.

Mungkin ramai yang tidak begitu teruja melihat jumlah itu tetapi kalibrasi yang baik menjadikan kuasanya mudah terasa sampai pada tayar hadapan tanpa pemandu perlu bersusah payah menekan pedal minyak. Ya, terdapat juga pilihan ‘manual’ pada tombol gear tersebut tetapi untuk pemanduan biasa, termasuk untuk memotong atau mengatasi trafik apabila bermula di hadapan sekali di lampu isyarat, anda mungkin akan terlupa ia berada di situ kerana tidak begitu memerlukannya.

Dengan transmisi CVT seperti ini, selalunya terdapat ‘sweet spot’, iaitu waktu di tahap rpm berapa tarikannya akan lebih terasa. Pada Sienta, penulis menyedari pada tahap 4,000 rpm tarikan yang lebih sudah mula terasa, tanpa perlu menekan pedal sepenuhnya. Bunyi daripada transmisi dan enjin itu juga bertambah kuat tetapi semakin kenderaan bertambah laju dan rpm tersebut menurun, ia akan kembali normal.

Di atas lebuh raya juga Sienta tidak bermasalah untuk bergerak laju sehingga had yang dibenarkan. Malah jika ingin pergi lebih juga enjinnya berkemampuan cuma badannya sudah mula terasa ringan dan pemandu perlu memberi lebih fokus bagi mengelakkan kenderaan terhuyung-hayang.

Melalui gabungan pemanduan di bandar dan lebuh raya, penulis mencatat jarak keseluruhan 330 km dan purata 11.1 km/l bermula dari tangki minyak 42 liternya penuh, sehingga lampu mula menyala dan untuk pengetahuan anda, penulis mempunyai gaya pemanduan yang memang tidak menjimatkan. Jika kaki anda lebih ringan memijak pedal minyak, catatannya pasti lebih baik.

Seterusnya, penulis tertarik dengan sifat pelbagai guna yang ada pada Sienta. Penyumbang utamanya adalah tempat duduk yang boleh dilaras dalam pelbagai kedudukan. Dalam keadaan semua tempat duduk tegak, ia menyediakan tujuh ruang, dan barisan ketiga sekadar sesuai untuk kanak-kanak kerana ruang kaki yang terhad.

Sekadar untuk bergerak dalam jarak dekat, memang tidak menjadi masalah tetapi untuk ‘balik kampung’ dan memuatkan barang kepunyaan tujuh orang, mungkin tidak. Sedangkan yang beranak tiga sahaja, dengan menaiki Vios sudah menggunakan sepenuhnya ruang yang ada, apatah lagi kalau anak ada lima. Penyelesaian lain sudah tentu adalah kotak simpanan di atas bumbung.

Tetapi, fikir kembali penggunaannya apabila di dalam bandar. Katakanlah anda mahu menurunkan anak di sekolah, dan mereka duduk di belakang. Dengan Sienta 1.5V ini, anda boleh berhenti di tempat yang selamat dan membuka pintu gelungsurnya dari tempat duduk pemandu sahaja – dengan menekan butang dan ia akan terbuka secara automatik, tutup juga begitu. Jika di sebelah kiri tidak selamat, sebelah kanan juga boleh melakukan benda yang sama.

Ini adalah ciri istimewa bagi Sienta varian V, sementara bagi varian G, hanya sebelah kiri sahaja yang mempunyai bantuan motor kuasa elektrik manakala sebelah kanan pula perlu dibuka secara manual.

Sekiranya dinaiki hanya lima orang dan ruang barangan tambahan diperlukan, tempat duduk barisan ketiga boleh dilipat dengan mudah, malah boleh menggunakan satu tangan sahaja dan ia akan masuk bersembunyi di bawah tempat duduk barisan ketiga. Jika masih tidak cukup, barisan kedua juga boleh dilipat ke atas supaya rapat ke tempat duduk hadapan.

Kebolehan inilah yang menjadikan Sienta menarik. Penulis membayangkan, jika anda seorang yang mempunyai pelbagai aktiviti, kenderaan ini seperti sentiasa menyenangkan. Contohnya, anda boleh membawa ramai kawan, boleh membawa kelengkapan riadah seperti basikal bila di hujung minggu dan mungkin juga membawa barang ke jualan ‘car boot sale‘.

Sienta ini tiba seperti pada masa yang tepat di tangan penulis. Hujung minggu itu, penulis berpindah rumah dan selepas barang-barang besar seperti peti ais, sofa dan beberapa almari penuh masuk di dalam lori 1 tan, masih ada lagi kotak-kotak yang tidak boleh muat. Penulis menoleh ke Sienta, dan ia ibarat senyum kembali. Memang kesudahannya, kotak-kotak itu masuk ke dalam Sienta.

Anda mungkin tidak mahu melihat gambarnya kerana penulis rasa, kotak-kotak itu tidak begitu fotogenik untuk tontonan awam tetapi apa yang boleh dikatakan, penulis berulang-alik lebih dari dua kali dari rumah lama ke rumah baru (yang sebenarnya tidak sampai 5 km pun) untuk mengangkat barang-barang lebihan. Walaupun begitu, ia tetap lebih menyenangkan berbanding kereta biasa.

Dari aspek kawalan, Sienta juga tidak menghampakan, sekurang-kurangnya bagi kenderaan berbentuk sepertinya. Tetapan suspensi MacPherson bersama stabilizer di hadapan dan Torsion Beam, juga dengan stabilizer di belakang menghasilkan hentakan yang cukup tegap untuk memegang jalan dan pada sama cukup selesa.

Bagi model ini, UMW Toyota tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, di mana ia dilengkapi dengan tiga beg udara (termasuk pada bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TC), Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta dua cagak ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua. Turut disediakan adalah pengesan undur, kamera belakang dan kamera perakam hadapan (varian G tiada dua kamera ini).

Dengan semua ini, ditambah lagi dengan adanya sistem tanpa kunci, butang pemula enjin dan corong pendingin hawa khas untuk penumpang belakang (di atas), Toyota Sienta 1.5V dijual pada harga RM99,999. Ini adalah RM7,000 lebih mahal berbanding model Sienta 1.5G, tetapi senarai kelebihan aksesorinya boleh dikatakan berbaloi.

Anda boleh melihat lebih lanjut berkenaan spesifikasi Toyota Sienta dan membuat perbandingan di Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required