UMW Toyota prebiu Toyota Sienta di Malaysia

Toyota_Sienta-2

Satu lagi kejutan pada My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), UMW Toyota secara rasminya mempamerkan MPV Toyota Sienta sebagai prebiu untuk orang ramai sebelum melancarkannya di Malaysia.

Sienta baharu sahaja diperkenalkan untuk pasaran ASEAN bulan lalu di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2016. MPV ini menampilkan rupabentuk yang lebih ‘funky’ dan moden berbanding MPV yang sedia ada dijual oleh pihak UMW Toyota seperti Avanza dan Innova.

Unit yang dipamerkan ini dikhabarkan sememangnya unit dengan spesifikasi untuk pasaran Malaysia. Ciri-ciri yang dilengkapi adalah hampir sama dengan varian tertinggi untuk pasaran Indonesia iaitu Spec Q, namun untuk pasaran Malaysia, ia diberikan lencana varian ‘V’. MPV ini turut dipadankan bersama sistem navigasi dengan skrin sesentuh DVD-AVN, tetapi tidak dilengkapi dengan kit badan seperti yang terdapat pada model pasaran Indonesia.

Toyota_Sienta-14

Turut dilengkapi pada model spesifikasi Malaysia ini adalah lampu hadapan bi-LED projektor, lampu kabus, lampu belakang LED dan roda dua ton (hitam dan aloi digilap) berdiameter 16-inci. Pada bahagian dalaman, ia didominasi dengan tema hitam dan perang serta dilengkapi dengan sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, pintu gelangsar elektrik belakang (kedua-dua belah), penghawa dingin automatik dengan liang penghawa dingin berasingan untuk bahagian belakang dan skrin sistem infotaimen untuk bahagian belakang.

Untuk ciri keselamatan, Sienta pasaran Malaysia dilengkapi dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta sistem ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC). Namun masih lagi belum jelas kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian atau untuk varian tertinggi sahaja.

Sienta dikuaskan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Ini berbeza daripada model pasaran Jepun yang dibekalkan dengan pilihan sama ada enjin 2NR-FKE 1.5 liter VVT-iE berkuasa 109 hp/ 136 Nm, ataupun jana kuasa hibrid menggunakan enjin 1NZ-FXE 1.5 liter berkuasa 74 hp/111 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

Setakat ini tiada khabar yang mengatakan Sienta akan dipasang secara CKD di Shah Alam, sebaliknya kesemua MPV baharu untuk pasaran Indonesia dan ASEAN ini akan dipasang di Kilang kedua PT Toyota Motor Manufacturing Indonesia di Karawang, Jawa Barat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required