Sienta-Launch-Main

Toyota Sienta telah pun selamat dilancarkan untuk pasaran Malaysia hari ini. Sebelum pelancarannya, UMW Toyota telah mempamerkan Sienta beberapa kali di lokasi awam termasuk di Mitsui Outlet KLIA, Sunway Giza dan Setia City Mall.

MPV ini menawarkan dua varian iaitu varian asas 1.5G dan 1.5V yang kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat-silider yang mampu menghasilkan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm pada 4,200 rpm.

Penjana kuasa tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik yang memacu tayar hadapan. Enjin 2NR-FE Dual VVT-i ini adalah sama dengan penjana kuasa NR pada unit 1.3L bagi Avanza dan Perodua Bezza.

Sienta memiliki ukuran 4,235 mm panjang, selebar 1,695 mm dan setinggi 1,700 mm, iaitu lebih kurang sama dengan Perodua Alza, dengan 5 mm lebih panjang dan 80 mm lebih tinggi. Sienta bagi pasaran ASEAN, diperbuat di Indonesia bagi rantau ini, dengan lebih 25 mm jarak kelegaan tanah berbanding model pasaran Jepun, pada 170 mm.

2016 Toyota Sienta 2

Tidak banyak perbezaan antara varian 1.5G dan 1.5V, di mana hanya dibezakan dengan ciri-ciri dan aksesori yang dilengkapkan. Untuk varian asas 1.5G, ia dipadankan dengan lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi auto on/off, lampu belakang LED biasa, penggilap cermin tanpa fungsi pemasa, pintu gelangsar dengan motor elektrik hanya untuk sebelah kiri dan roda aloi bersaiz 15-inci.

Bagi ruang kabinnya, ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan fabrik berwarna hitam, unit pemain audio utama 2-DIN tanpa skrin sesentuh dengan pemain CD, MP3, sambungan USB serta Bluetooth dan paparan meter kombinasi biasa dengan paparan MID mono.

Varian tertinggi 1.5V pula hadir dengan lampu hadapan projektor Bi-LED dengan fungsi auto on/off, lampu belakang dengan lampu penunjuk LED, penggilap cermin dengan fungsi pemasa, kedua-dua pintu gelangsar dengan motor elektrik, cermin hadapan akustik dan roda aloi bersaiz 16-inci.

2016 Toyota Sienta 20

Menjengah di bahagian dalamnya, ia ditampilkan dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik (hanya manual untuk Spec G), balutan fabrik berwarna perang, perakam video digital, penghawa dingin automatik, sistem hiburan dilengkapi skrin sesentuh 6.8-inci dengan fungsi pemain DVD, MP3 dan kawalan suara berserta sambungan USB dan Bluetooth.

Ia juga menerima kemasan upholstery fabrik berwarna perang, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, pintu gelangsar belakang bantuan kuasa untuk kedua-dua belah, filem penapis haba dan keselamatan premium serta kamera rakaman video digital seperti yang terdapat pada Hilux dan Fortuner baharu.

Malah ia juga dilengkapi dengan paparan meter kombinasi Optitron bersama paparan MID TFT berwarna, roda stereng tiga-jejari pelbagai fungsi dengan balutan kulit, kamera undur dan filem penapis haba keselamatan premium.

Kedua-dua varian turut didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, corong penghawa dingin belakang, tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh lipat 50:50 dan enam unit pembesar suara secara standard.

Begitu juga dengan sistem keselamatan, Toyota tidak berkompromi untuk membekalkan kedua-dua varian Sienta dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC) serta dua cagak ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua.

UMW Toyota turut menawarkan pilihan aksesori untuk varian 1.5G yang terdiri dari skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD-AVX dan kamera undur berharga RM2,109, sistem tanpa kamera undur berharga RM2,014 dan filem penapis haba keselamatan premium berharga RM2,109.40. Untuk pembeli varian 1.5V pula, mereka ditawarkan dengan pilihan opsyenal sistem navigasi DVD-AVN bernilai 3,169.

Enam warna ditawarkan iaitu Orange Metallic, Quartz Brown Metallic, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black dan Super White II.

Seinta 1.5G dijual pada harga RM92,900 dan 1.5V pula berharga RM99,900. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.