Harga Toyota Sienta 2016 diumumkan – dari RM93k

Toyota_Sienta-2

Setelah dipamerkan di My Auto Fest 2016 dua minggu lalu, UMW Toyota kini secara rasmi mengumumkan harga dan spesifikasi untuk MPV Toyota Sienta 2016. Dua varian ditawarkan iaitu varian asas Spec G dijual pada harga RM92,900 dan varian tertinggi Spec V berharga RM99,900. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

Enam warna ditawarkan iaitu Orange Metallic, Quartz Brown Metallic, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black dan Super White II.

Kedua-dua varian dikuasakan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

Spec G dan Spec V dibezakan hanya dengan ciri-ciri dan aksesori yang dilengkapkan. Untuk varian asas G, ia dipadankan dengan lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi auto on/off, lampu belakang LED biasa, penggilap cermin tanpa fungsi pemasa, pintu gelangsar dengan motor elektrik hanya untuk sebelah kiri, roda aloi berdiameter 15-inci, balutan fabrik berwarna hitam, unit pemain audio utama 2-DIN tanpa skrin sesentuh (dengan pemain CD, MP3, sambungan USB serta Bluetooth) dan paparan meter kombinasi biasa dengan paparan MID mono.

2916-Toyota-Sienta-Price-List_BM

Toyota turut menawarkan pilihan opsyen untuk varian G yang terdiri dari skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD-AVX dan kamera undur berharga RM2,109, sistem tanpa kamera undur berharga RM2,014 dan filem penapis haba keselamatan premium berharga RM2,109.40.

Varian tertinggi V pula hadir dengan lampu hadapan projektor Bi-LED dengan fungsi auto on/off, lampu belakang dengan lampu penunjuk LED, penggilap cermin dengan fungsi pemasa, kedua-dua pintu gelangsar dengan motor elektrik, roda aloi berdiameter 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik (hanya manual untuk Spec G), balutan fabrik berwarna perang, perakam video digital, sistem hiburan dilengkapi skrin sesentuh 6.8-inci (dengan fungsi pemain DVD, MP3, kawalan menggunakan suara, sambungan USB serta Bluetooth), paparan meter kombinasi Optitron dengan paparan MID TFT berwarna, roda stereng tiga jejari pelbagai fungsi dengan balutan kulit, kamera undur dan filem penapis haba keselamatan premium. Sistem DVD-AVN dilengkapi sistem navigasi dan kamera undur (RM3,169) turut ditawarkan sebagai pilihan opsyen untuk varian V.

Sementara itu, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, liang penghawa dingin belakang, tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh lipat 50:50 dan enam unit pembesar suara dibekalkan secara standard untuk kedua-dua varian.

Begitu juga dengan sistem keselamatan, Toyota tidak berkompromi untuk membekalkan kedua-dua varian Sienta dengan tiga beg udara (termasuk beg udara bahagian lutut pemandu), brek cakera untuk kesemua roda beserta sistem ABS, EBD dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Bantuan Mula Mendaki (VSC) serta dua cagak ISOFIX pada tempat duduk barisan kedua.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required