GALERI: Toyota Sienta 2016 di Mitsui Outlet Park

Toyota_Sienta_Ext-2

Pada 5 hingga 10 Julai yang lalu, Toyota telah mempamerkan MPV Toyota Sienta 2016 di Mitsui Outlet Park KLIA. Ini merupakan penampilan kedua Sienta di khalayak ramai di Malaysia, selepas pertama kali dipertontonkan di My Auto Fest 2016 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) Mei lalu.

Untuk mereka yang tidak berkesempatan untuk melihat sendiri MPV baharu Toyota yang bakal dilancarkan tidak lama lagi ini, kami sediakan galeri penuh untuk anda menjamu mata. Dengan pencahayaan yang lebih baik dan suasana yang lebih tenang berbanding di MIECC, galeri kali ini memberikan perincian yang lebih jelas untuk anda.

Walaupun belum diumumkan tarikh pelancarannya, harga untuk Sienta telah pun dikeluarkan oleh pihak UMW Toyota bulan lalu iaitu bermula RM92,900 untuk varian asas 1.5G dan RM99,900 untuk varian tertinggi 1.5V. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran, beserta perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Model yang dipamerkan ini merupakan model varian 1.5V, diimport sepenuhnya (CBU) dari Indonesia. Ia dilengkapi dengan lampu hadapan bi-LED dengan lampu kedudukan LED, roda aloi 16-inci digilap dan lampu penunjuk pada lampu belakang. Model 1.5G hanya dilengkapi dengan lampu hadapan halogen, roda aloi 15-inci dan lampu belakang LED kosong. Kedua-dua model didatangkan dengan lampu nyalaan siang secara standard.

Toyota_Sienta_Ext-16

Bahagian dalaman Sienta turut menampilkan rekaan funky seperti bahagian luarannya dengan papan pemuka dua tingkat dan panel instrumen yang diletakkan pada kedudukan yang agak tinggi. Bahagian konsol tengah untuk Sienta pasaran Malaysia juga agak berbeza dari model JDM di mana ia menempatkan suis kawalan penghawa dingin yang unik, tuil penukar gear dan ruang storan tambahan.

Model pasaran Malaysia juga dilengkapi dengan penghembus hawa dingin tambahan untuk bahagian belakang. Walau bagaimanapun, fungsi tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat dan disorokkan pada tempat duduk barisan kedua dengan hanya satu tuil masih dikekalkan.

Model 1.5V juga dilengkapi dengan cermin hadapan acoustic, sistem kunci pintar berserta butang penghidup enjin, meter Optitron, paparan pelbagai informasi seperti Camry, penghawa dingin automatik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 6.8-inci berserta dengan kawalan suara serta kamera undur.

Ia juga menerima kemasan upholsteri fabrik berwarna perang, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, pintu gelangsar belakang bantuan kuasa untuk kedua-dua belah, filem penapis haba dan keselamatan premium serta kamera rakaman video digital seperti yang terdapat pada Hilux dan Fortuner baharu. Kesemua ciri berkenaan tidak terdapat pada model 1.5G di mana ia hanya menerima unit pemain audio utama 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, tempat duduk berwarna hitam dan hanya pintu gelangsar belakang bahagian kiri dilengkapi dengan bantuan kuasa elektrik.

Toyota_Sienta_Int-17

Kedua-dua varian menerima sistem keselamatan yang sama secara standard meliputi tiga beg udara (termasuk sebuah untuk bahagian lutut pemandu), ABS berserta EBD dan Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HAC) dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada tempat duduk baris kedua.

Pembeli juga ditawarkan pilihan aksesori opsyenal untuk varian 1.5G yang terdiri dari skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD-AVX dan kamera undur berharga RM2,109, sistem tanpa kamera undur berharga RM2,014 dan filem penapis haba keselamatan premium berharga RM2,109.40. Untuk pembeli varian 1.5V pula, mereka ditawarkan dengan pilihan opsyenal sistem navigasi DVD-AVN bernilai 3,169.

Kedua-dua varian dikuasakan dengan enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i yang sama seperti yang terdapat pada Toyota Avanza facelift, menghasilkan kuasa 107 PS dan tork 143 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik memacu tayar hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required