Proton minta RM1.8 bilion dana tambahan daripada kerajaan, Geely kembali berunding sebagai pembida?

Proton minta RM1.8 bilion dana tambahan daripada kerajaan, Geely kembali berunding sebagai pembida?

Selagi Proton tidak membuat pengumuman secara rasmi berhubung rakan kongsi strategiknya, selagi itulah khabar angin dan spekulasi – ada juga berita yang betul – akan bertiup tanpa dapat dibendung.

Untuk itu, di dalam perkembangan terkini, Proton dilaporkan meminta dana tambahan selepas setahun pinjaman mudah RM1.5 bilion diberikan oleh kerajaan. Bukan itu saja; Geely juga khabarnya kembali sebagai pembida untuk menjadi rakan kongsi strategiknya selepas laporan di dalam sebuah akhbar China bulan lalu menyatakan syarikat itu telah menarik diri.

The Edge Malaysia di dalam sebuah laporannya, memetik beberapa sumber yang dekat dengan perkara ini, menyatakan bahawa Proton meminta tambahan antara RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion daripada kerajaan untuk menampung kerugian kos operasi syarikat. Proton dijangka mencatatkan kerugian besar bagi tahun kewangan 2017 disebabkan jualan yang perlahan, dan disandarkan juga kepada kerugian RM1.426 bilion yang dilaporkan bagi tahun kewangan 2016 yang berakhir 31 Mac.

Proton minta RM1.8 bilion dana tambahan daripada kerajaan, Geely kembali berunding sebagai pembida?

Permintaan ini adalah selepas kerajaan persekutuan menyalurkan RM1.25 bilion kepada Protom tahun lalu – yang terus digunakan untuk melangsaikan bayaran tertunggak kepada vendor-vendor – dan memberikan tekanan akan Proton mencari rakan strategik asing yang dapat menyuntik dana dan mengubah jenama itu untuk menjana keuntungan.

Pencarian rakan strategik yang ideal juga menjadi goyah; khabar angin kedengaran bahawa minat PSA Group terhadap Proton juga semakin memudar – kerana tidak termeterainya sebarang perjanjian persefahaman ketika kunjungan Presiden Francois Hollande ke Malaysia bulan lalu. Seminggu sebelum itu, Presiden Geely, An Conghui memberitahu South China Morning Post bahawa syarikatnya telah menarik diri dari bidaan terhadap Proton.

“Untuk Presiden Perancis datang ke sini dan tiada apa-apa yang ditandatangani? Ini seperti dapat menyatakan sesuatu. Jika PSA dan Proton boleh duduk berbincang diperingkat tertinggi seperti itu, mereka sepatutnya boleh menandatangani memorandum persefahaman dahulu. Perincian berikutnya boleh ditentukan kemudian,” jelas seorang eksekutif industri.

Proton minta RM1.8 bilion dana tambahan daripada kerajaan, Geely kembali berunding sebagai pembida?

Minat yang ditunjukkan oleh PSA itu adalah sebahagian daripada strategi global yang diusahakan di bawah kepimpinan Carlos Tavares, yang sebelum ini turut menyaksikan kumpulan itu memiliki Opel dan Vauxhall. Tavares sedang melihat untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat itu di ASEAN pasaran. Namun ada sumber menyatakan bahawa syarikat itu semakin kurang berminat untuk menggunakan Proton bagi tujuan itu, dan mungkin akan melihat kepada pilihan lain.

Pemilik Proton, DRB-Hicom di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bulan lalu bagaimanapun menyatakan sebaliknya. “Semua pihak yang menghantar bidaan mereka terhadap Proton masih kekal dan DRB-Hicom sedang menilai bidaan mereka,” ujar Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Beliau juga menambah, syarikat memerlukan lebih masa untuk membuat pilihan ke atas bidaan yang ada. Terdahulu dinyatakan, Proton akan mengumumkan rakan strategiknya pada penghujung separuh pertama tahun ini, tempoh yang hampir sama dengan tarikh akhir yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai syarat kepada pinjaman mudah yang diberikan.

Walaupun kenyataan ini bertentangan dengan komen presiden Geely, sumber memberitahu The Edge bahawa pengeluar kenderaan China itu telah kembali kepada rundingan itu selepas prospek PSA Group juga kini menjadi samar-samar. Kini, andaiannya ialah langkah Geely untuk menarik diri seminggu sebelum lawatan Presiden Hollande itu hanyalah strategi mereka semata-mata.

The Edge menyatakan, selepas ini, kerajaan perlu mempertimbang kos yang akan diperlukan oleh Proton sekiranya syarikat itu gagal mendapatkan rakan strategik. Tambahan pula syarikat itu kini meminta tambahan dana selepas permintaan terdahulu diluluskan, yang jelas kini hanya menjadi penyelesaian jangka pendek sahaja. Kerugian yang berterusan akan menyebabkan peralihan pinjaman mudah itu kepada ekuiti. Jika ini berlaku, kerajaan akan menjadi pemegang saham terbesar Proton.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required