Selagi belum memuktamadkan keputusan terakhir mengenai bidaan rakan strategik asing (FSP) bagi Proton, selagi itulah pelbagai spekulasi akan bertebaran mengenai perkara ini.

Minggu lalu DRB-Hicom menegaskan pencarian FSP Proton masih lagi diteruskan dan mensasarkan untuk menamatkan proses penilaian menjelang akhir suku kedua tahun 2017. Perkara ini timbul selepas terdapat desas-desus mengenai penarikan Geely sebagai salah satu pembida.

Hari ini, sekali lagi DRB-Hicom menyebarkan siaran media dengan menjelaskan pencarian FSP Proton adalah kunci untuk mengubah hala tuju pengeluar kereta tersebut kepada sebuah syarikat yang berdaya saing.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, keperincian terhadap setiap bidaan amat kritikal dalam proses penilaian semua bidaan yang diterima daripada pengeluar kereta global.

“Matlamat kami adalah untuk mengubah hala tuju Proton. Sekiranya kelebihan dan kekuatan Proton dapat dipertingkatkan dengan rakan baharu yang boleh menawarkan teknologi, keupayaan dan pasaran baharu, syarikat ini bakal menjadi satu jenama yang disegani.

“Inilah sebab mengapa kami perlu terperinci dalam menilai bidaan yang diterima. Proton dan FSP baharu ini perlu mampu menghasilkan sinergi yang akan memastikan kejayaan kerjasama ini,” kata Syed Faisal.

Beliau juga menegaskan kenyataan syarikat minggu lalu bahawa semua pembida masih lagi bersaing untuk dipilih menjadi FSP Proton.

“Ada laporan media yang menyatakan DRB-HICOM kini hanya mempunyai satu pembida. Saya ingin mengesahkan bahawa semua pihak yang membuat bidaan masih bersaing dan DRB-HICOM kini sedang menilai semua bidaan tersebut Kami kini di peringkat akhir proses yang teliti ini, dan akan menamatkan penilaian menjelang akhir separuh pertama tahun ini,” tambah beliau.