Toyota FT-4X didedahkan sebelum pengenalan rasmi

Toyota FT-4X Concept sepatutnya akan diperkenalkan malam ini di Pameran Permotoran New York, namun imej penuhnya mula terdedah sebelum pengenalan rasmi berkenaan – walaupun dalam resolusi yang rendah, bersama beberapa maklumat awal.

Ia nampak ranggi, dengan rekabentuk kotak serta perincian yang minimalis. Lengkung roda, rim enam jejari serta tayar off-road yang digunakan membuatkannya kelihatan tegap. Beberapa bahagian turut menerima kemasan luaran warna putih; muka depan bumbung dan kemudiannya hingga ke pintu bahagian barangan di belakang.

Turut disertakan ialah bahagian kaca boleh alih pada bahagian C-Pillar, serta kamera GoPro yang dipasangkan pada cermin sisi sebelah pemandu. Bahagian belakangnya lebih menarik; dengan rekaan “Multi Hatch” yang terpisah – ia boleh dibuka ke atas atau ke bahagian sisinya untuk memudahkan barangan dimasukkan.

Empat cangkuk penunda ada ditempatkan di depan dan belakang, dengan rekaan bampar yang tinggi membantu meningkatkan sudut pada permukaan yang boleh dilalui oleh kenderaan ini. Ia nampak besar, tetapi sebenarnya FT-4X ini sedikit lebih kecil berbanding crossover segmen B, Toyota C-HR. Ia juga menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

Dimensinya ialah 4,249 mm panjang, 1,821 mm lebar dan 1,623 mm tinggi. Ia adalah 111 mm lebih pendek, 26 mm lebih lebar dan 58 mm lebih tinggi daripada C-HR – manakala jarak antara roda keduanya kekal sama pada 2,640 mm. Toyota memaklumkan dalam hebahan media bahawa model ini mungkin akan menggunakan enjin empat-silinder berkapasiti kecil, serta sistem pacuan empat roda juga akan disertakan.

Di dalam, FT-4X datang dengan papan pemuka horizontal yang bersih dan kemas, mirip seperti yang pernah dilihat pada Citroen C4 Cactus. Ia turut memiliki ruang meletak barangan yang luas – baik ruang yang tertutup mahupun ruang terbuka. Meter instrumen semuanya digital, dengan dock untuk telefon pintar – sebuah boombox mudah alih terletak di konsol tengah.

Di tengah itu juga tersimpan sebuah beg tidur oleh The North Face, yang turut berfungsi sebagai perehat lengan. Pemegang pintunya juga bertindak selaku botol air. Turut melengkapinya ialah lampu suluh pada siling di belakang, slot USB dalam ruang di bawah perehat lengan serta bekas pemanas dan pendingin di belakang. Anda rasa kenderaan ini cukup menarik atau pelik?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required