toyota-tnga-engine-1-850x601_bm

Toyota telah mengumumkan perincian awal bagi barisan sistem janaan kuasa yang akan digunakan bagi program platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA). Rancangan itu bakal menyaksikan pengenalan 17 versi berlainan bagi sembilan enjinnya, serta 10 versi bagi empat transmisi – termasuk transmisi automatik pelbagai gear dan juga dari jenis continuously variable transmission (CVT) – serta 10 versi daripada enam sistem hibrid dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dibangunkan bersekali untuk TNGA, barisan “Dynamic Force Engines” akan diperkenalkan bermula 2017, dan pengeluarnya mensasarkan unit-unit baharu ini dijangka akan dipasangkan lebih daripada 60% kenderaannya yang dijual setiap tahun untuk pasaran Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan China menjelang 2021.

Enjin-enjin baharu ini menggunakan teknologi pembakaran berkelajuan tinggi dengan sistem kawalan pemboleh-ubah. Ia juga mencapai kecekapan suhu yang lebih baik, membolehkan penghasilan output lebih tinggi, disebabkan oleh pengurangan kehilangan tenaga yang dikaitkan dengan sistem ekzos/penyejukan serta pergerakan bahagian mekanikal.

toyota-tnga-transmission-3-850x464_bm

Barisan itu termasuk enjin 2.5 liter empat-silinder suntikan terus baharu, yang didakwa antara enjin dengan kecekapan suhu terbaik dunia pada kadar 40% bila digunakan pada kenderaan janaan petrol dan 41% bagi penggunaan dalam sistem hibrid.

Turut diumumkan pada peringkat ini ialah dua transmisi automatik baharu; Direct-Shift 8AT lapan-kelajuan dan Direct-Shift 10AT 10 kelajuan. Unit-unit ini memiliki julat gear yang lebih luas serta torque converter kompak berprestasi tinggi yang baharu dibangunkan.

Untuk mengurangkan kehilangan tenaga dan meningkatkan kecekapan transmisi, permukaan gigi gear diproses menggunakan teknik baharu untuk mendapatkan kadar geseran yang lebih rendah ketika gear dimasukkan, serta konfigurasi bahan geseran yang digunakan di dalam klac telah dipertingkatkan untuk mengurangkan kehilangan tork sehingga 50% ketika dalam pusingan jika dibandingkan dengan transmisi enam-kelajuan konvensional.

Toyota juga mendedahkan pembangunan Hybrid Synergy Drive, dengan pengenalan sistem baharu yang berprestasi tinggi Multistage THS II bagi kenderaan pacuan belakang. Diperkemas untuk penggunaan enjin 2.5 liter, sistem berkenaan menawarkan prestasi pecutan dari keadaan pegun dengan rasa yang langsung.

Sistem untuk kenderaan plug-in hybrid (PHEV) turut menerima peningkatan. Sistem pacuan dual-mode membolehkan motor elektrik – yang terdahulu digunakan hanya sebagai generator – untuk membekalkan kuasa pemanduan secara langsung.

Ini memberi kesan lebih baik kepada prestasi pemanduan, walaupun dalam mod EV. Bateri lithium-ion dengan kapasiti besar yang meningkatkan jarak perjalanan dalam mod EV kepada 60 km juga sebahagian daripada pembaharuan yang dilakukan.

Selari dengan unit janaan kuasa baharu TNGA ini, Toyota juga mengumumkan syarikat itu akan memberikan tumpuan kepada pembangunan teknologi hibrid. Syarikat itu kini ingin menyusun semula struktur pembangunannya bermula tahun depan dan menambah jumlah tenaga kerja individu bagi pembangunan teknologi hibrid kepada 30% dalam tempoh lima tahun akan datang.