Porsche Panamera 2017 telah pun tiba di pasaran Malaysia, dengan gaya yang cukup anggun dan lebih berkarakteristik. Untuk pasaran tempatan, ia hadir dengan dua varian iaitu model asas Panamera dan Panamera 4S. Ia ditampilkan sebagai ikon prestasi untuk jentera serba mewah.

Bagi bahagian mekanikalnya, model asas Panamera masih menggunakan penjana kuasa yang sama dengan model terdahulu iaitu enjin 3.0 liter V6 turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 330 hp pada takat 5,400 hingga 6,400 rpm, dan tork pula mencecah 450 Nm pada takat 1,340 hingga 4,900 rpm. Walau bagaimana pun, model baharu ini telah dipertingkatkan kuasa sebanyak 20 hp berbanding model sebelumnya. Enjin ini mampu memberikan kelajuan maksimum sehingga 264 km/j.

Manakala Panamera 4S pula dipadankan dengan enjin baharu yang lebih berkuasa iaitu 2.9 liter V6 bi-turbo enam-silinder dengan output sehingga 440 hp pada takat 5,650 hingga 6,600 rpm serta tork pula mencecah 550 Nm pada takat 1,750 hingga 5,500 rpm. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 289 km/j.

Kedua-dua varian ini turut digandingkan dengan transmisi baharu seperti mana model terkini Porsche iaitu automatik Porsche double-clutch (PDK) lapan-kelajuan.

Penggunaan bahan api bagi varian Panamera yang dipacukan oleh roda-belakang dianggarkan sekitar 9.8-9.7 liter per kilometer, sementara emisi CO2 pula 173-171 g/km. Manakala Panamera 4S yang hadir dengan sistem pacuan semua-roda dianggar menggunakan bahan api lebih kurang 10.4-10.3L/km dan emisi CO2 pula 189-187 g/km.

Mod pemanduan pada Panamera boleh dipilih dengan Mode Switch opsyenal pada Sport Response Button. Mode Switch berkenaan diperkenalkan buat pertama kali pada model 918 Spyder, yang digunakan untuk memilih pemanduan (Normal, Sport, Sport Plus atau Individual) menerusi suis putaran pada roda stereng. Sport Response Button diletakkan pada bahagian tengah suis berkenaan.

Jentera baharu ini juga menerima stereng bahagian belakang baharu, yang diambil dari 918 Spyder dan 911 Turbo, serta prestasi brek juga dipertingkatkan. Sistem suspensi udara adaptif juga dibekalkan dengan teknologi tiga-kebuk baharu dan Porsche Active Suspension Management (PASM kawalan penyerap hentak elektronik).

Turut ditampilkan ialah sistem Porsche Dynamic Chassis Control Sport (PDCC Sport) yang dipertingkat, Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) dan penstabilan oleng aktif serta sistem stereng elektromekanikal baharu.

Coupe empat-pintu generasi kedua ini juga ditampilkan dengan dimensi yang lebih panjang dan dinamik, bahu yang lebih lebar dan garis bumbung yang kini 20 mm lebih rendah pada bahagian belakang. Ia juga lebih besar dari model sebelum ini, diukur dengan dimensi 5,049 mm (+34 mm) panjang, 1,937 mm (+6 mm) lebar dan 1,423 mm (+5 mm) tinggi, serta jarak roda yang telah dipanjangkan 30 mm kepada 2,950 mm.

Walaupun ketinggiannya kini lebih rendah, Panamera nampak lebih rendah dan panjang. Ini adalah kerana garis bumbung baharu yang didakwa Porsche mengubah seluruhnya imej kereta ini. Perubahan lain yang turut dibuat adalah pada bahagian overhang, yang dikurangkan pada bahagian hadapan, dan ditambah pada bahagian belakang.

Malahan komponen yang dibina dari bahan aluminium kini ditingkatkan bagi mendapatkan berat yang ideal, ini termasuklah bahagian luaran, sisi badan, bonet, bumbung dan dapra.

Bagi imej luarannya, ia memang cukup sporty di samping mengekalkan elemen penuh kemewahan. Ia dilengkapi lampu utama LED dengan empat poin lampu nyalaan siang LED, dan ditawarkan dalam tiga versi. Pada bahagian belakang pula, ia hadir dengan lampu LED tiga dimensi, dan dipenuhi oleh lampu brek empat-poin. Rodanya pula ditampilkan dengan saiz 19-inci (pilihan 21-inci) yang dibaluti tayar 265/45 ZR.

Manakala rekaan dalaman bahagian kabinnya turut dipertingkatkan, termasuk dengan Porsche Advanced Cockpit seperti yang terdapat pada model 918 Spyder turut diterapkan pada Panamera dengan perincian yang lebih tinggi. Malah ia turut ditawarkan dengan elemen pilihan termasuk bumbung panaromik boleh buka, tempat duduk dengan pengurut badan, lampu suasana dan sistem bunyi 3D dari Brumester.

Permukaan panel dan paparan interaktif baharu menampilkan ciri permukaan sensitif-sentuh menggantikan instrumen dengan suis kawalan konvensional. Panel kawalan baharu pada konsol tengah berkenaan membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi dan liang penghawa dingin juga boleh dilaras secara elektronik dengan pengalih sensitif-sentuh.

Untuk paparan instrumen pula, ia menampilkan paparan tujuh-inci yang di tempatkan terus di hadapan pemandu untuk ergonomik yang ideal. Takometer (masih lagi analog) yang diletakkan di antara dua paparan tadi dikatakan direka diinspirasikan dari model 356 A 1955.

Skrin sesentuh bersaiz 12.3-inci diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka, sistem Porsche Communication Management (PCM) generasi seterusnya yang menampilkan navigasi atas talian, iaitu fungsi atas talian dari Porsche Connect, sistem telefon pintar bersepadu menerusi Apple Car Play dan sistem kawalan suara yang berfungsi dengan input bahasa semula jadi.

Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 memberikan tahap versatil yang lebih baik. Ruang but berkapasiti 495 liter dan boleh dipertingkatkan sehingga 1,304 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Ciri bukaan elektrik untuk but juga didatangkan secara standard.

Coupe empat-pintu generasi kedua ini ditawarkan dengan harga bermula RM890,000 bagi Panamera dan RM1,100,000 untuk Panamera 4S. Kedua-duanya adalah harga atas jalan (termasuk semua cukai dan duti eksais) tanpa pendaftaran, cukai jalan dan insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti empat-tahun dan pakej penyelenggara percuma termasuk servis, alat ganti dan kos buruh.

Panamera 4S 2017

Panamera 2017