Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menasihati pengguna jalan raya untuk menyemak laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengetahui sama ada lesen mereka telah dikenakan mata demerit atau tidak, lapor Bernama.

“Kami tak ingin mengenakan denda terhadap mereka yang tidak sepatutnya, tetapi dalam masa sama kami perlu untuk melaksanakannya dengan ketat agar ia nanti menjadi satu budaya sekaligus memperbaiki tahap keselamatan jalanraya dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Mulai 1 April lalu, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) telah pun mula dilaksanakan diseluruh negara. Daripada 21 kesalahan sedia ada yang tersenarai, hanya dua kesalahan yang akan dikesan dan dikenakan tindakan oleh sistem berkenaan.

Menjelang akhir tahun ini pula, JPJ mensasarkan sistem berkenaan akan melaksanakan dan membuat penilaian terhadap 23 kesalahan trafik utama oleh pengguna. “Ia bermula dengan kesalahan memandu melebihi had laju dan langgaran lampu merah, yang akan dikuatkuasa pada 15 April,” jelas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron sebelum ini.