Dengan kini sudah berada di penghujung bulan April, dan jumlah jualan kenderaan pada bulan Mac telah pun dikeluarkan, prestasi setiap jenama untuk suku pertama (Q1) tahun 2017 juga sudah boleh diketahui. Secara keseluruhannya, jumlah jualan terkumpul (TIV) Q1 2017 meningkat sebanyak 7.29% menjadi 14,839 unit.

Berada pada tempat pertama adalah Perodua, dengan jualan sebanyak 50,265 unit kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 6.54% berbanding tempoh sama tahun lalu. Sekaligus, Perodua juga mencatat perkongsian pasaran paling tinggi iaitu 35.7% (tahun lalu 35.9%).

Proton pula berada di tempat ketiga, dengan jualan sebanyak 19,376 (peningkatan 0.79% berbanding tempoh sama tahun lalu) buah kenderaan, di bawah Honda yang mencatat jualan 27,283 unit kenderaan. Jumlah yang dicatat oleh Honda ini menunjukkan perbezaan agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu lebih 45.30%, tetapi masih belum dapat menyaingi Toyota yang menunjukkan peningkatan paling banyak – 61.54%. Secara keseluruhan, Toyota berada di tempat keempat dengan jualan 16,503 unit kenderaan.

Melihat kepada jumlah perkongsian pasaran, selepas Perodua, ia diikuti oleh Honda dengan catatan 19.4%, menaik berbanding 14.3% pada Q1 2016, diikuti oleh Proton 13.8% (tahun lalu 14.6%), Toyota 11.7% (tahun lalu 7.8% dan Nissan 4.3% (menurun dari 8.2% tahun lalu).

Jenama yang menunjukkan antara penurunan paling banyak berbanding tempoh sama tahun lalu adalah Nissan, iaitu penurunan 44,41%, namun masih berada di tempat kelima dengan jualan 5,989 buah kenderaan. Berdasarkan peratusan berbanding tahun lepas, jenama yang paling teruk menurun adalah Tata (97.01%), Yutong (80%), Bei Ben (78.57%), Chana (76.83%), Grand Tiger (75%), Lamborghini (66.67%), JAC (54.10%) dan MAN (46.99%).

Untuk jenama kenderaan mewah, Mercedes-Benz berada di kedudukan paling tinggi iaitu di tempat keenam keseluruhan dengan jualan 2,988 buah kenderaan, dan ini adalah peningkatan sebanyak 11.62% berbanding tempoh sama tahun lalu. Pesaing terdekat jenama itu iaitu BMW hanya berada di tempat kesembilan dengan jualan 2,138 buah kenderaan, namun masih menunjukkan peningkatan sebanyak 17.93% berbanding tahun lalu.