Bukan sekadar perkiraan rambang, kini jelas model ketiga yang akan dilancarkan oleh Modenas pada 19 Mei ini adalah Bajaj V. Perkara ini boleh dilihat selepas syarikat pengeluar motosikal tempatan itu menyiarkan teaser ketiga mereka yang menunjukkan rupa motosikal itu dengan jelas, walaupun hanya separuh. Di atas motosikal itu pula terdapat lambang V unik untuk motosikal tersebut.

Bajaj V akan menjadi satu daripada tiga model pertama yang akan dikeluarkan oleh Modenas hasil kerjasama dengan pengeluar motosikal dari India tersebut, selain Pulsar NS200 dan RS200. Teaser untuk dua motosikal ini turut dikeluarkan oleh Modenas dalam siri pertama dan kedua.

Bajaj V juga sudah pernah dilihat atas jalan raya, di sebelah utara Malaysia, dan seorang pembaca menghantar gambarnya kepada kami. Di India Bajaj V dijual dalam pilihan enjin 124.5 cc dan 149.5 cc, tetapi bagi Malaysia, kami menjangka yang tiba adalah model 149.5 cc.

Enjin 149.5 cc Bajaj V adalah daripada binaan satu silinder SOHC empat strok penyejukan udara dan mampu menghasilkan 12 PS pada 7,500 rpm dan 12.7 Nm pada 5,500 rpm. Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork teleskopik 33 mm, brek cakera 240 mm, rim 18 inci dan tayar 90/90, sementara di belakang pula terdapat suspensi gas berkembar, brek dram, rim 18 inci dan tayar 120/80.

Untuk model Bajaj V15, ia dijual di India pada harga sekitar 63,000 rupee, bersamaan apabila ditukar terus kepada Ringgit Malaysia adalah RM4,239.