Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari jalan untuk tidak membenarkan penggunaan ruang parkir di dalam bangunan sebagai kaedah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan pengguna.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tangku Adnan Tengku Mansor, polisi untuk tidak mempunyai ruang parkir dalam bangunan telah menjadi trend di beberapa bandar membangun, dan Kuala Lumpur harus mengikut jejak langkah sedemikian, laporan The Sun.

“Lihat saja di Tokyo, Hong Kong, Melbourne, London, gaya bangunan atau pembangunan semula telah berubah dan tiada disediakan ruang parkir dalam bangunan. Mereka mencuba untuk menghalang orang ramai daripada menggunakan kenderaan di bandaraya dan ini contoh yang perlu kita lihat supaya kita berada setara dengan kota terbesar di dunia,” ujarnya kepada pihak pemberita semalam.

Tambahnya lagi, corak pembangunan pesat di Kuala Lumpur telah banyak berubah, justeru pemaju projek perlu mengadaptasi gaya pembangunan yang sesuai untuk menjimatkan penggunaan ruang sedia ada.

“Orang ramai perlu menerima perubahan ini dan mengubah mentaliti lama mereka kepada gaya hidup metropolitan yang moden,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, Kuala Lumpur hanyalah sebuah bandar yang kecil dengan keluasan 243km².

“Saya mahu meminta maaf kerana buat masa ini memang terdapat banyak kesesakan, banyak lubang di atas jalan raya di seluruh bandaraya dan terdapat banyak perkara yang perlu dinaiktaraf.

“Namun kita tidak dapat menangani isu ini sekarang kerana terdapat pembinaan MRT yang sedang berjalan, begitu juga dengan lebuhraya baharu dan juga jalan-jalan baharu yang tengah dibangunkan di beberapa tempat tertentu. Jadi di harap warga kota bersabar dengan kesulitan yang dihadapi dan apabila semua projek ini selesai, kita tidak akan berhadapan dengan masalah sebegini lagi,” katanya.