Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) setakat ini telah merakam 185,000 imej pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mei, tetapi hanya 43,312 saman dikeluarkan, lapor Malay Mail Online.
Daripada 184,791 imej yang dirakam, 160,489 daripadanya adalah pengguna yang memandu sehingga 40 km/j lebih laju daripada had yang dibenarkan, sementara 8,061 imej lagi adalah mereka yang memandu melebihi 40 km/j dari had laju yang dibenarkan. Ketika mendedahkan statistik berkenaan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata sebanyak 38,929 saman atas kesalahan memandu melebihi had laju telah dikeluarkan.
Selain itu, sistem berkenaan juga telah merakam 16,241 imej yang menunjukkan pengguna melanggar lampu merah – saman berkaitan juga sudah dikeluarkan. Beliau turut menunjukkan beberapa perbezaan pada gambar yang dirakam, dan menjelaskan bahawa nombor plat yang tidak mengikut piawaian menjadi antara sebab pihak penguatkuasa sukar mengesan pemilik kenderaan. Beliau turut menyentuh, penggunaan nombor plat tidak mengikut piawaian ini akan ditangani dalam masa terdekat melalui operasi JPJ ke atas kenderaan yang menggunakannya.
“Saman akan dikeluarkan secara berperingkat, tetapi ada beberapa kes di mana nombor platnya tidak dapat dilihat. Ini disebabkan nombor yang digunakan tidak mengikut piawaian dan spesifikasi JPJ. Jadi, gambar-gambar yang ada perlu diteliti dahulu. Sebab itulah untuk keluarkan saman ini akan ambil masa,” jelasnya.
Beliau juga menambah, tujuh lagi kamera AES akan dipasang tahun ini sebagai tambahan kepada 14 kamera yang ada sekarang ini. Antara lokasi baru kamera berkenaan ialah di Johor dan Kelantan. Buat masa ini, kamera AES hanya akan digunakan terhadap kesalahan memecut melebihi had laju dan melanggar lampu merah. Sistem ini juga sudah disepadukan bersama mata demerit Kejara di bawah Automated Awareness Safety System (AWAS) sejak 1 April.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.