Semua orang tahu bahawa Proton adalah hasil buah fikiran Perdana Menteri ke-empat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed (Tun M). Dari tahun pertama penubuhannya pada 1983 sehinggalah akhir Mac 2016, Tun M sangat mengambil berat tentang Proton. Malah selepas bersara daripada jawatan tertinggi dalam kerajaan, beliau telah dilantik sebagai pengerusi syarikat pengeluar kereta nasional tersebut, sehinggalah meletakkan jawatan pada setahun yang lalu.

Rasa kecintaan yang ada antara Tun M dengan Proton yang dianggap sebagai ‘brainchild’ beliau sendiri, nampaknya tidak terpadam biar pun kini beliau tidak terkait lagi dengan operasi jenama ini. Malah berita panas yang membanjiri ruang akhbar mahu pun di Internet semalam mengenai syarikat pengeluar kereta terkemuka China, Geely, yang berjaya membida sebagai rakan kongsi strategik Proton, meruntunkan hati Tun M.

Beliau telah meluahkan rasa kecewa yang penuh sindiran menerusi blog peribadinya chedet.cc.

Katanya, rasa sedih cukup terasa kerana bagi beliau, Proton kini boleh dianggap bukan lagi kereta nasional. “Rakyat Malaysia sepatutnya gembira kerana ‘menghapuskannya’, saya pasti Proton akan melakukan yang terbaik. Malah mampu memcipta kejayaan komersil. Ia akan dijual di seluruh dunia. Nama Proton akan berada di mana-mana sahaja.

“Ia akan menjadi seperti Singapura. Jika ia tidak dijual, sudah pasti kita hanya akan membangunkannya seperti Kuala Kedah atau Kuala Perlis sahaja. Dan kita tidak akan berbangga dengan Singapura,” catatnya dalam luahan berbentuk sindiran.

Sambungnya lagi, rakyat Malaysia kini patut berbangga dengan Proton kerana dengan duit dan teknologi terunggul, boleh membuatkannya bersaing dengan Rolls Royce dan Bentley.

“Saya tidak boleh berbangga dengan kejayaan ini kerana ia bukanlah milik saya atau negara saya. Mungkin ada rakyat Malaysia yang berasa demikian (bangga) tetapi, bukan saya. Cuba fikirkan, sekiranya negara kita dijual kepada pihak lain, pada orang yang sangat kaya dari negara lain, saya sangat yakin negara kita juga akan membangun sebaiknya – melebihi apa yang dijangka dalam Wawasan 2020,” ujarnya lagi.

Malah Tun M turut berkata, ini adalah peringkat permulaan menjual Proton (kepada pihak asing) sepenuhnya. “Proses ini tidak dapat disekat kerana tiada cara lain intuk kita membayar hutang kita mencecah bilion (Ringgit), salah satu caranya ialah menjual aset kita (termasuk Proton),” katanya sebelum mengakhiri catatan dengan ayat “Please excuse Me” (yang penuh dengan makna tersirat).