TUNGGANG UJI: KTM Super Adventure 1290 R bukan setakat mampu redah cabaran, malah mudah dikendali

TUNGGANG UJI: KTM Super Adventure 1290 R bukan setakat mampu redah cabaran, malah mudah dikendali

Jika dulu, bagi seseorang penunggang motosikal yang ingin mengembara, mereka akan mengambil motosikal yang ada, dan kemudiannya berdasarkan pengetahuan yang ada, mengubah suai motosikal tersebut mengikut apa yang dirasakan perlu supaya ia dapat bertahan dengan cabaran yang akan dilalui.

Tapi kini, sudah semakin banyak motosikal yang datang terus dengan keupayaan serba lasak, sehinggakan apabila keluar sahaja dari pusat pameran, ia sudah boleh dibawa untuk pengembaraan – dalam keadaan standard.

Bagi tahun ini, pengeluar motosikal dari Austria, KTM Motorcycles telah memperbaharui barisan model Adventure mereka, dengan satu daripadanya sudahpun dilancarkan di Malaysia iaitu Super Adventure S. Walaupun juga adalah model kembara, ia lebih tertumpu kepada penggunaan di atas jalan biasa, seperti yang boleh dilihat, rim dan tayarnya adalah daripada jenis sport.

Saya pasti, setakat ingin meredah jalan tanah merah seperti di ladang sawit, ia tidak akan bermasalah, tetapi pastinya ada orang yang mahu lebih lagi – keupayaan meredah jalan-jalan kasar tanpa sebarang kerisauan, apabila perlu dalam pengembaraan mereka. Perkara ini dijawab dengan penawaran satu lagi model iaitu Super Adventure R.

Bagi model tahun 2017 ini, Super Adventure R ditawarkan sebagai pengganti kepada model Super Adventure 1190 sebelum ini, dan pastinya, ia lebih berkemampuan dan dilengkapi dengan lebih banyak barangan berteknologi terkini dalam dunia motosikal.

Saya menjadi antara wakil media yang bertuah dapat menguji sendiri Super Adventure R 2017 di Blue Mountains, Australia, semasa acara pelancarannya bagi benua Asia. Walaupun perjalanan agak jauh, di mana saya keluar dari rumah awal pagi, dan sampai ke hotel di Blue Mountains hampir jam 10 malam waktu tempatan, saya masih tersenyum dan semakin teruja apabila melihat deretan motosikal KTM Super Adventure (termasuk model S) di depan hotel.

Motosikal street KTM tahun 2017 mempunyai rupa unik yang baru, dan model Super Adventure ini adalah antara yang menggunakannya, selain barisan Duke. Apa yang dimaksudkan adalah rekaan lampu hadapan LED, yang mana jika dilihat oleh pengguna jalan raya lain pada cermin sisi atau cermin pandang belakang, boleh dikenali unik untuk motosikal KTM.

Sebenarnya, rekaan motosikal KTM dibangunkan melalui kerjasama dengan sebuah syarikat rekaan juga dari Austria iaitu Kiska. Hubungan di antara dua syarikat ini sudah berlangsung selama lebih 20 tahun, sehinggalah sekarang.

Bagi Super Adventure R 2017, hampir semua panel badan ini adalah baru, termasuk tangki minyak 23 liternya, tetapi melihat kepada unit lampu LED depan tersebut, ia sebenarnya cukup kompleks. Lampu LED light guide itu menyala sepanjang masa termasuk siang sebagai daytime running light (DRL), di bahagian tengah, atas adalah lampu utama dan tinggi, manakala di bawah, kiri dan kanan adalah lampu membelok, yang akan menyala mengikut arah motosikal membelok.

Bagi lampu LED tersebut, memandangkan ia menyala sepanjang masa, KTM dan Kiska perlu memikirkan cara untuk mengalirkan habanya. Jadi, garis yang anda boleh lihat berada di tengah lampu tersebut sebenarnya adalah aluminium yang dapat menjadikan lampu ini lebih sejuk dan beroperasi tanpa sebarang masalah.

Mungkin ada yang tertanya, kenapa penghadang angin hadapan baru pada motosikal ini agak rendah. Jawapannya, ia dihasilkan dengan memikirkan tugasnya apabila di laluan offroad. Dalam keadaan ini, penunggang biasanya akan berdiri dan tunduk, dan dengan penghadang angin yang lebih rendah, penunggang tidak akan terhantuk kepadanya. Walaupun begitu, ia masih boleh ditinggikan untuk pelindungan yang lebih di jalan biasa dengan memulas tombol di tepinya.

KTM Super Adventure R terletak dalam segmen motosikal kembara besar, yang meletakkannya setara dengan model popular BMW R1200 GS, Ducati Multistrada Enduro dan Aprilia Caponord Rally. Bagi menggerakkannya, enjin yang dipilih adalah unit sama seperti Super Duke (juga digelar sebagai The Beast) iaitu dua silinder V berkapasiti 1,301 cc.

Dalam bahagian pertama sesi tunggang uji di Blue Mountains, saya dapat mengetahui, enjin ini tidaklah selancar enjin empat siinder, tetapi ia memberikan bunyi dan tumbukan kuasa padat yang cukup memuaskan. Jika kuasa penuh sebanyak 160 hp dan 140 Nm tork terlalu tinggi bagi anda, KTM ada menyediakan beberapa mod lain supaya motosikal dapat disesuaikan dengan keadaan jalan.

TUNGGANG UJI: KTM Super Adventure 1290 R bukan setakat mampu redah cabaran, malah mudah dikendali

Sport dan Street memberikan kuasa penuh tetapi tindak balas kawalan cengkaman (MTC) yang berbeza, di mana dalam mod Sport, anda masih boleh menggelungsur sedikit, tetapi dalam Street, segalanya akan berjalan lancar. Dalam mod Rain dan Offroad pula, kuasa dihadkan kepada 100 hp, manakala MTC dijadikan lebih sensitif supaya selamat di dalam mod Rain manakala dalam mod Offroad, anda masih boleh menggelungsur sedikit di atas jalan licin atau tidak rata.

Di Australia, penguatkuasaan peraturan jalan raya agak ketat, jadi, sepanjang sesi tunggang uji di atas jalan biasa, wakil media yang turut serta seboleh-boleh memastikan kelajuan tidak melebihi yang sepatutnya. Sehinggakan, apabila memotong di laluan dua lorong pun, kami melakukannya secara perlahan-lahan supaya tidak melebihi had laju.

Sewaktu meluncur dalam keadaan sekata, saya mengambil peluang untuk menggunakan sistem cruise control yang ada pada motosikal ini, yang juga kini lebih mudah diaktifkan kerana butang kawalannya berada di bahagian kiri pemegang. Walaupun dengan jari tangan saya yang tidaklah sepanjang jari mat saleh, ia boleh dicapai dengan mudah, malah setelah beberapa kali diaktifkan, boleh dilakukan tanpa melihat terus kepadanya.

Paparan utama yang memberikan informasi kepada penunggang adalah unit skrin TFT berwarna penuh 6.5 inci yang terletak di sebalik penghadang angin. Semua operasi ciri motosikal dan pilihan yang disediakan dipaparkan pada skrin ini, dan berdasarkan kepada pengalaman saya menunggang beberapa buah model KTM lain sebelum ini, tetapan pada Super Adventure R ini adalah yang paling mudah dioperasikan, bersama butang kawalannya di pemegang kiri.

Separuh bahagian kanan paparan digital ini adalah tetap, tetapi bagi paparan ciri kegemaran (favourite), terpulang kepada penunggang untuk meletakkan seberapa banyak yang mahu dilihat sepanjang masa, maksimum sehingga lapan ciri. Jika semakin banyak, sudah tentu tulisannya menjadi kecil, tetapi apabila dipilih sebagai contoh hanya empat (yang dirasakan paling padan), saiz tulisannya sedang elok. Jika penunggang menekan butang menu selebihnya, barulah pilihan lain akan keluar.

KTM tahu, walaupun meter ini diselindungi, ia masih boleh terkena pelbagai elemen sewaktu ditunggang. Oleh itu, permukaannya dijadikan tahan lasak, dan tahan calar, selain jelas untuk dilihat. Ia disambungkan dengan pengesan yang diletakkan di lampu hadapan, dan apabila cuaca gelap, paparan akan bertukar warna.

Bagi unit standard, KTM Super Adventure R didatangkan dengan tayar pelbagai guna Continental Trail Attack II, dilekatkan pada rim jejari 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, tetapi bagi unit ujian media ini, ia dipasang dengan tayar yang berbunga lebih kasar, iaitu Continental Twinduro TKC 80 kerana ingin dibawa ke jalan offroad yang lebih mencabar.

Selain itu, ia juga dipasang dengan pakej yang paling lengkap, iaitu termasuk Travel Pack yang menyediakan Hill Hold Control (HHC), Motor Slip Regulation (MSR), quickshifter+ (boleh digunakan untuk naik dan turun gear), sistem sambungan My Ride dan beberapa aksesori Powerparts seperti pemijak kaki lebih lebar, penapis udara sport di panel hadapan, penghadang bawah enjin aluminium dan ekzos Akrapovic.

TUNGGANG UJI: KTM Super Adventure 1290 R bukan setakat mampu redah cabaran, malah mudah dikendali

Walaupun begitu, saya berpendapat, walaupun dalam keadaan standard, Super Adventure R adalah sebuah motosikal yang cukup menyeronokkan dan memuaskan untuk ditunggang. Sebagai contoh, apabila memasuki jalan kasar, penunggang boleh memilih mod Offroad, yang disediakan sebagai pilihan bersama tiga mod lain, dan walaupun dalam mod ini kuasa hanya dihadkan kepada 100 hp (berbanding keseluruhannya 160 hp), penunggang boleh menggelungsur sedikit dan berseronok dengan mengawal kembali tayar belakang yang keluar apabila pendikit dipulas.

Disebabkan pengendalian motosikal ini sangat mudah (pada pendapat saya yang tidaklah begitu berpengalaman di jalan offroad), dan kuasa yang cukup untuk membuatkan saya ketagih, saya mahukan gelungsuran (drift) yang lebih, dan untuk mendapatkannya, saya perlu menutup terus Traction Control. Walaupun begitu, saya cuba mengawal diri untuk tidak melakukannya dan tidak mengambil risiko, apatah lagi apabila berada jauh dari negara sendiri.

Tetapi, bagi saya, inilah yang menjadikan menunggang motosikal sesuatu yang menyeronokkan, terutama sekali apabila kita yakin boleh mengawal motosikal itu. Memang ada, motosikal yang kuasanya tidak begitu tinggi, dan masih boleh meredah offroad dengan bersahaja, secara santai, tetapi bagi saya, dengan motosikal yang berkuasa dan senang dikawal seperti Super Adventure R ini, ia jadi lebih mengujakan dan memberikan suntikan adrenalin yang cukup.

Antara penyumbang kepada keyakinan semasa menunggang Super Adventure R adalah tetapan suspensinya, yang mendapat unit daripada WP Suspension – di depan berukuran 48 mm dengan pelarasan pra beban, tekanan dan lantunan, manakala di belakang pula unit tunggal penyerap PDS boleh laras yang disambungkan terus kepada lengan ayun. Jarak pergerakan kedua-dua bahagian ini adalah 220 mm.

TUNGGANG UJI: KTM Super Adventure 1290 R bukan setakat mampu redah cabaran, malah mudah dikendali

Ia boleh dikatakan agak tinggi, dan walaupun saya tidaklah berpeluang melompat dengan motosikal ini, saya dapat menyaksikan pembimbing sesi offroad ini iaitu Chris Birch melakukannya. Beliau adalah seorang yang cukup terkenal dalam dunia enduro dan menunggang motosikal ini begitu bersahaja sambil melakukan pelbagai aksi. Setakat untuk melakukan wheelie, itu sudah seperti tiada rasa, tetapi beliau juga mempunyai keberanian untuk mendaki bukit yang akhirnya mendongak hampir 80 darjah, dan di akhirnya masih boleh wheelie.

Tidak dinafikan, dalam hati saya berasa cemburu dengan kemampuan beliau, dan berangan alangkah bagusnya jika daripada kanak-kanak saya sudah berlatih menunggang motosikal. Jika anda melihat video beliau di dalam Youtube, Super Adventure R ini dipergunakan sehabis-habisnya seperti sebuah jentolak untuk mengharungi cabaran.

Bagi penunggang biasa, anda tidak seharusnya takut dengan Super Adventure R. Ia mudah dikawal, malah bagi mereka yang rendah, tempat duduknya boleh dilaras kepada dua kedudukan berbeza secara mudah. Sudah tentu, untuk motosikal seperti ini, ia diberikan pilihan pelbagai aksesori untuk memastikan perjalanan seseorang itu lebih lengkap seperti beg simpanan aluminium, lampu LED, tempat duduk ergo serta pelbagai pelindung lain.

KTM Super Adventure R 2017 dijangka tiba di Malaysia tidak lama lagi, tetapi lingkungan harganya masih lagi tidak diberitahu. Bagi model hampir sama, tetapi lebih fokus kepada penggunaan di jalan biasa iaitu Super Adventure S, ia baru sahaja dilancarkan April lalu pada harga RM115,000, termasuk GST bagi model asas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required