KTM Malaysia hari ini melancarkan dua model baru yang akan berada paling atas dalam barisan produk mereka iaitu Super Adventure S 1290 dan Super Duke GT 1290. Kedua-dua model ini dinamakan sebagai model tahun 2017 dan ia adalah model terawal yang sampai di Malaysia dengan menggunakan lampu rekaan baru jenis LED yang ditunggu-tunggu ramai.

Enjin kedua-dua model ini adalah sama, iaitu unit dua silinder V 75 darjah berkapasiti 1,301 cc, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan. Enjin ini juga adalah sama dengan unit yang dipakai pada model Super Duke GT yang diperkenalkan di Malaysia pada bulan Julai tahun lalu.

Bezanya, masing-masing ditala supaya bersesuaian dengan karekternya, di mana Super Adventure S mampu menghasilkan 160 hp pada 8,750 rpm dan 140 Nm pada 6,750 rpm, manakala Super Duke R berkemampuan 177 hp pada 9,750 rpm dan 141 Nm pada 7,000 rpm.

Melihat kepada model Super Adventure S, motosikal ini didatangkan secara standard dengan suspensi WP Suspension – USD 48 mm semi aktif di hadapan dan penyerap tunggal semi aktif di belakang. Untuk kuasa berhenti, bahagian depan dilengkapkan dengan set berkembar cakera 320 mm dan angkup Brembo empat piston, manakala di belakang terdapat brek cakera 267 mm dan angkup Brembo dua piston. Rim pula bersaiz 19 inci di hadapan, dan 17 inci di belakang, dengan tayar Pirelli Scorpion Trail II.

Untuk ciri elektronik, Super Adventure S dilengkapkan secara standard dengan empat mod tunggangan (Sport, Street, Rain dan Offroad), MTC (motorcycle traction control), ABS dan tentunya yang menarik perhatian adalah skrin paparan informasi berwarna TFT berukuran 6.5 inci. Keterangan skrin ini boleh dilaras secara automatik bergantung kepada keterangan keadaan semasa.

Jika pemilik bercadang untuk mendapatkan lebih lagi daripada motosikal ini, mereka boleh memilih tambahan Travel Pack, berharga RM4,800, yang memberikan Quickshifter + (boleh digunakan untuk naik dan turunkan gear), KTM My Ride (sambungan dengan telefon sendiri dan data perjalanan), MSR (motor slip regulation) dan HHC (hill-hold control). Secara keseluruhannya, Super Adventure S mempunyai berat kering sekitar 215 kg, kapasiti tangki minyak 23 liter, jarak kelegaan dari tanah 220 mm dan tinggi tempat duduk 875 mm.

Pergi kepada Super Duke R, ia adalah sebuah model naked prestasi yang dilengkapkan secara standard dengan suspensi WP 48 mm pelarasan penuh di hadapan, dan penyerap tunggal Wp di belakang. Jarak pergerakan suspensi motosikal ini adalah lebih sedikit berbanding Super Adventure, iaitu 125 mm di hadapan, dan 156 mm di belakang (Super Adventure S 200 mm).

Pada bahagian brek Super Duke R, terdapat set berkembar cakera 320 mm dan brek Brembo Monobloc empat piston di hadapan, dan cakera 240 mm serta angkup Brembo dua piston di belakang. Secara standard, motosikal ini didatangkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Street dan Rain, dan turut diberi adalah sistem kawalan cengkaman MTC dan ABS.

Bagi Super Duke R, pembeli ditawarkan dua pakej tambahan iaitu Performance Pack yang akan memberi sistem MSR, quickshifter + dan KTM My Ride, manakala satu lagi pakej iaitu Track Pack memberikan mod tunggangan tambahan Track (pelarasan pemetaan enjin bebas), anti-wheelie off, pelarasan MTC Slip dan launch control. Harga untuk pakej ini masih lagi belum disiarkan.

KTM Super Adventure S dijual dalam pilihan dua warna iaitu putih, dan hitam, pada harga RM115,000 manakala Super Duke R pula adalah RM118,000. Harga ini adalah termasuk GST, bagi model asas, tetapi tidak termasuk kos lain seperti insurans, pendaftaran dan cukai jalan. Sementara itu, bagi model Super Adventure R, iaitu model yang mempunyai kelebihan atas jalan offroad akan tiba di Malaysia dalam bulan Mei nanti.

GALERI: KTM Super Duke R 2017

GALERI: KTM Super Adventure S 2017