Mengikut jejak penawaran terhadap model seperti Clio, Espace, Captur dan Koleos sebelum ini, Renault kini menampilkan pula model Scenic dan Grand Scenic dalam versi Initiale Paris. Di asaskan dari varian Intens, kedua-dua model terbabit menerima beberapa peningkatan dari aspek penggayaan untuk disesuaikan dengan penjenamaan Initiale Paris itu sendiri.

Antaranya, penggunaan warna luaran baru, Amethyst Black metalik serta rim 20-inci. Selanjutnya, ia dipasangkan dengan gril corak bintang, penjenamaan “Initiale Paris” di bawah logo Renault serta lampu kabus LED yang turut fungsi di selekoh.

Di ruang dalaman pula, lapik bahagian bawah kerangka bukaan pintu hadir dalam kemasan krom dengan logo “Initiale Paris” serta warna khas pada bahagian konsol tengah. Pemilik boleh memilih antara corak warna hitam atau kelabu dan upholstery kulit Nappa yang turut digunakan pada tombol gear dan stereng.

Senarai kelengkapannya turut termasuk kerusi larasan elektrik dengan fungsi urut dan pemanas, serta sistem audio Bose, paparan heads-up berwarna dan Easy Park Assist.

Pilihan enjin pula termasuk 1.2 liter Energy TCe 130 empat-silinder dengan janaan 130 PS (128 hp) dan 205 Nm atau dua enjin 1.6 liter diesel – Energy dCi 130 (130 PS/128 hp dan 320 Nm) serta Energy dCi 160 (160 PS/158 hp dan 360 Nm).

Hanya enjin diesel yang paling berkuasa dipadankan dengan transmisi klac berkembar enam-kelajuan manual. Di Perancis, harganya bermula dari 33,200 Euro (RM158,627) hingga 39,400 Euro (RM188,250).