Sebelum ini Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mempertontonkan Elantra AD 2017, dan kita juga telah melihat lembaran spesifikasinya tersebar. Tapi kini, sedan segmen C terbaru ini secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dalam tiga varian iaitu 2.0 Executive, 2.0 Dynamic dan 1.6 Turbo – harga masing-masing adalah RM116,388, RM120,588 dan RM131,488, atas jalan tanpa insurans.

Barisan model Elantra bermula dengan paling asas adalah model yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter Nu MPI empat silinder yang berkemampuan 152 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm tork pada 4,000 rpm. Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan.

Duduk di atas adalah model yang menggunakan enjin turbo 1.6 liter Gamma T-GDI, yang berkemampuan 204 PS pada 6,000 rpm dan 265 Nm tork pada antara 1,500 hingga 4,500 rpm. Jika dibandingkan dengan kuasa 173 PS/ 220 Nm yang dihasilkan oleh Honda Civic 1.5 turbo, kuasa daripada Elantra ini adalah lebih 31 PS dan 45 Nm. Selain itu, Elantra juga mempunyai kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan serta penukar gear di stereng, berbanding Civic yang menggunakan CVT.

Model 2.0 NA dan 1.6 Turbo juga mempunyai perbezaan di bahagian bawah badannya, di mana 2.0 NA menggunakan suspensi belakang torsion beam, manakala 1.6 Turbo menggunakan tetapan multi-link. Kesemuanya menggunakan brek cakera, tetapi 1.6 Turbo mendapat unit yang lebih besar satu inci di hadapan, menjadi 16 inci. Semua Elantra baru ini menggunakan rim 17 inci dan tayar 225/45, tetapi mempunyai rekaan yang berbeza.

Melihat kepada kelengkapan, kedua-dua varian 2.0 mempunyai barangan yang hampir sama, namun varian Dynamic ditambah dengan kita badan lebih agresif, bersama lampu siang LED. Barangan standard yang boleh didapati adalah banyak, termasuk lampu utama projector halogen automatik, lampu kabus (Executive sahaja) dan rim aloi 17 inci dengan rekaan seperti turbin.

Turut diberi adalah sistem tanpa kunci, bersama butang pemula enjin, kemasan dalam kulit dan suede, cermin pandang belakang malap automatik, pendingin hawa manual dengan corong di belakang, pengesan undur, sistem hiburan dan informasi dengan skrin sesentuh tujuh inci dan sambungan Bluetooth, CarPlay dan Android Auto, kamera undur dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Selain mendapat lebih kuasa dan peningkatan casis, pembeli model 1.6 Turbo juga akan dapat menikmati barangan seperti lampu utama HID, lampu siang LED, tempat duduk kulit sepenuhnya, pendingin hawa dwi zon automatik, pedal penukar gear di stereng, pengelap cermin automatik (pengesan hujan), dan ciri keselamatan seperti pengesan titik buta dan rear cross traffic alert (RCTA).

Varian Sport juga datang dengan gril unik, bersama lencana Turbo, bampar dengan bukaan udara lebih luas, dan lampu utama dengan rekaan yang lebih kompleks. Di bahagian belakangnya terdapat pula diffuser, muncung ekzos berkembar dan lencana ‘Sport’. Rim untuk model ini juga adalah lain.

Di dalam, terdapat banyak warna merah digunakan, seperti contoh, tempat duduknya (turut dijahit dengan tulisan ‘Sport’ pada bahagian kerusi hadapan), panel pintu, jahitan pada stereng dan pelapik tombol gear, dan keliling karpet. Stereng model ini adalah sama dengan stereng Ioniq, cuma bahagian yang berwarna biru diganti dengan merah.

Tujuh warna badan ditawarkan untuk Elantra, dan HSDM memberikan jaminan selama lima tahun atau 300,000 km, bersama pakej servis percuma untuk 50,000 km dan boleh dipakai sehingga tiga tahun sebelum ia luput.

GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Sport T-GDI

GALERI: Hyundai Elantra 2.0 Executive dan 2.0 Dynamic

Tags: