Seperti mana yang dilaporkan minggu lalu, kerajaan bakal mengumumkan formula baharu bagi menentukan harga runcit bahan api. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu diambil untuk memastikan kestabilan industri minyak domestik.
Semalam beliau telah mengeluarkan kenyataan, ia masih dalam peringkat kajian dan pihaknya telah bertemu dengan syarikat-syarikat minyak untuk membincangkan formula itu bagi memastikan ia tidak merugikan mana-mana pihak, laporan Bernama.
Hamzah berkata kerajaan mahu formula itu memanfaatkan semua pihak termasuk pengguna, dan bukannnya menyukarkan mereka sekiranya stesen minyak ditutup akibat kerugian.
“Jarak purata stesen minyak adalah kira-kira 25 kilometer dari satu-satu tempat. Jadi, kalau ada yang tutup, pengguna juga akan susah terpaksa pergi jauh untuk mengisi minyak,” katanya.
Ketika ini, terdapat 3,500 stesen minyak beroperasi di seluruh negara.
Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, ada pihak yang mendesak kerajaan untuk menukar semula pengumuman harga bahan api dari mingguan ke bulanan. Walau bagaimana pun, pihak kerajaan masih kekal dengan pelaksanaan sedia ada, iaitu harga siling bahan api diumumkan setiap minggu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.