Pagi ini Proton menerusi DRB-Hicom telah menandatangani perjanjian muktamad dengan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) sebagai rakan kongsi strategik asing. Perjanjian ini termeterai selepas sebulan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian dasar di Putrajaya. Di mana Geely sah memegang ekuiti sebanyak 49.9% di dalam Proton dan 51% bagi Lotus.

Majlis menandatangani perjanjian ini disempurnakan oleh Pengarah Urusan DRB-Hicom Datuk Sri Syed Faisal Albar dan Presiden ZGH An Conghui, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Duta China ke Malaysia Huang Huikang, Pengerusi DRB-Hicom Brig. Gen (K) Tan Sri Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Utusan Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting dan Pengerusi ZGH Li Shufu.

Menurut Syed Faisal, perjanjian ini merupakan satu detik bersejarah buat Proton yang menyasarkan pasaran automotif ASEAN termasuk China yang lebih besar.

“ZGH yang turut memiliki Volvo Carsm London Taxi Company, LYNK & Co dan Geely Auto merupakan rakan kongsi yang paling tepat buat Proton. Kejayaan mereka di dalam Volvo dan London Taxi Company khususnya, membuktikan keupayaan mereka sebagai pengeluar kenderaan dan sebagai rakan kongsi. Dengan ZGH, Proton turut berpeluang menerokai pasaran ASEAN yang lebih meluas selepas ini,” ujarnya.

Selain itu, Proton juga akan mempunyai akses bagi produk, platform dan teknologi Geely termasuk berupaya menjadi pengeluar kenderaan pemanduan sebelah kanan bagi model-model Geely yang disasarkan untuk pasaran ASEAN.

Sebelum ini, Proton telah mendedahkan bahawa antara model terawal yang akan dipasarkan hasil kerjasama ini di Malaysia adalah menggunakan asas daripada SUV Geely Boyue yang juga adalah model paling laris Geely. Malah dalam majlis ini juga, SUV berkenaan turut dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia.

Menurut Syed Faisal, SUV berkenaan turut mempunyai pelbagai elemen menarik termasuklah slot kad SIM dan WiFi, fungsi pengesan suara dan juga aplikasi Skype dan YouTube.

Bukan itu sahaja, kemudahan R&D Proton juga akan diangkat sebagai pusat kecemerlangan global Geely yang kelima di dunia. Malah pembekal tempatan yang membekalkan komponen untuk Proton juga berpeluang terlibat dengan rangkaian global Geely sekiranya menepati standard yang ditetapkan. Proton juga berupaya memasang kenderaan Volvo jika ia melebihi kapasiti di fasiliti sedia ada.

“Satus Proton sebagai kereta nasional kini lebih terjamin kerana DRB-Hicom masih merupakan pemegang saham majoriti. Kini Proton akan menumpukan usaha untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam negara serta menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pasaran dari segi reka bentuk dan kualiti,” sambungnya lagi.

Datuk Seri Najib Tun Razak pula dalam ucapannya menyebut, “Kini tibalah masa bagi Proton untuk bergerak lebih ke hadapan serta menghasilkan lebih banyak model kenderaan yang berkualiti. Bukan itu sahaja, kini Proton juga berpeluang menembusi pasaran luar secara lebih meluas dan ini merupakan antara ujian berkenaan dengan keupayaan Proton untuk tujuan tersebut termasuk menambah jumlah kapasiti pengeluaran, dengan adanya Geely sebagai rakan kongsi.”

Pengerusi ZGH Li Shufu pula berkata,”Sebagai jenama nasional ikonik, Proton adalah mewakili semangat Malaysia. Peranan kami sebagai rakan kongsi adalah membantu Proton menjadi peneraju industri di Malaysia dan juga jenama ketiga teratas di pasaran ASEAN. Malah bagi Lotus pula, kami akan memperkukuhkan dan memperluaskan lagi portfolio produk dan meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memantapkan lagi jenama ini.

“Dengan kepakaran dalam teknologi dan inovasi, ini membuka peluang kepada ZGH untuk menjadi pemain utama dalam pasaran ASEAN dan ia mampu membantu kami mencapai sasaran jualan sebanyak tiga juta unit menjelang 2020.”