Dalam acara Future Mobility Days di Jerman baru-baru ini, Volkswagen telah mendedahkan model Gen.E, kenderaan yang sedang diuji untuk pelan elektrifikasi jenama itu.

Daripada sudut penggayaannya, Gen.E kelihatan seperti model Golf tiga-pintu yang tampil dengan imej futuristik, termasuk ukiran bentuk badannya, tingkap belakang yang bersisir, kamera menggantikan cermin sisi dan lampu utama yang lebih langsing. Model prototaip ini turut menampilkan lampu berbentuk-C dan kamera yang dipasang di bawah, memungkinkan ia mempunyai sokongan fungsi pemanduan sendiri.

Selain itu, pintu gullwing dan pemegang pintu yang seperti terpasak ke dalam, turut memberikan kesan aerodinamik pada model ini. Manakala bahagian dalamannya dikatakan lebih konvensional. Dengan segala penampilan itu, adakah ia memberikan gambaran atau prebiu bagi model Golf yang akan datang? Tunggu dan lihat.

Volkswagen turut mendedahkan Gen.E “memberikan kecekapan bagi mobiliti jarak jauh yang lebih menjimatkan dengan jarak melebihi 400 km.” Seperti salah satu gambar yang didedahkan ini, Gen.E turut didatangkan dengan soket pengecasan hadapan, yang dikatakan mampu dipasang pada pengecas tiga fasa di stesen pengecasan awam.

Walau bagaimana pun, pengeluar kenderaan ini belum bersedia mendedahkan penjana kuasa elektrik bagi model konsep ini, namun digambarkan pek baterinya yang memiliki sel lithium-ion yang lebih maju dan mampu menyalurkan kuasa lebih optimum pada motor elektriknya. Malahan, Volkswagen turut berkata robot pengecasan bergerak sedang dibangunkan untuk kegunaan pengecasan yang lebih mudah.

Bukan itu sahaja, model prototaip ini juga dibangunkan dengan binaan yang lebih ringan serta “direka bagi memaksimumkan keselamatan pelanggaran.” Ia digambarkan untuk platform Volkswagen Modular Electrification Toolkit (MEB), yang turut ditampilkan pada model konsep I.D.