Pada bulan Jun 2017, Lexus Malaysia telah membuka tempahan awal untuk Lexus LC 500, dengan harga RM940,000 (atas jalan, tanpa insurans). Kini, model coupe mewah tersebut telah dijumpai di Malaysia buat pertama kali, namun berada di atas trak.

LC 500 adalah sebuah kereta prestasi yang dikuasakan oleh enjin V8 5.0 liter, dengan kemampuan 471 hp dan 540 Nm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear automatik Direct Shift 10 kelajuan. Melalui padanan ini, LC 500 boleh memecut dari pegun ke 100 km/j di bawah 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 270 km/j.

Di bawah panel badan kereta ini, terdapat kerangka Lexus Global Architecture – Luxury (GA-L), dan platform yang digunakan dibina daripada gabungan bahan antaranya besi berkekuatan tinggi, aluminium dan gentian karbon. Rangka badannya pula dibina kebanyakannya dengan besi high-tensile yang lebih tegar berbanding struktur karbon LFA.

Pada bahagian dalam, LC 500 juga mempunyai persamaan dengan supercar LFA yang dikuasakan oleh enjin V10, iaitu antaranya tombol pengawal pada bahagian tepi panel meter. Pada bahagian lain, kebanyakannya dibalut dengan kulit dan bahan premium.

GALERI: Lexus LC 500