Selepas melancarkan model sedan mewah Audi A8, pengeluar dari Jerman ini memperkenalkan pula barisan kelengkapan prestasi Audi Sport untuk model R9 dan TT RS.

Untuk brek, Audi menawarkan pad jenis sport yang dikatakan kurang cenderung untuk fading berbanding pad standard, dan boleh dipasang untuk kedua-dua set standard dan seramik. Untuk R8, pad ini datang dengan pemegang titanium yang 1 kg lebih ringan. Sementara itu bagi Audi TT RS pula, cakera brek hadapan dengan beberapa plat skru ada ditawarkan, dan boleh didapati bersama kit penyejuk brek yang juga boleh dipasang pada model TTS dan TT standard.

Pada bahagian casis pula, kedua-dua model TT dan R8 boleh didapati dengan penyerap hentak larasan dua atau tiga bahagian, dan rim 20 inci berwarna hitam. Rim ini boleh mengurangkan sehingga 7.2 kg pada model TT, dipasang dengan tayar 255/30R20 manakala pada R8, ia dapat menjimatkan 8.0 kg dan dipasang dengan tayar 245/35 di hadapan dan 305/30 di belakang.

Turut ditawarkan untuk TT coupe quattro adalah palang penguat cross member untuk gandar belakang, menggantikan tempat duduk belakang, dan ia boleh menjimatkan sebanyak 20 kg, selain meningkatkan ketegaran serta kawalan kenderaan. Untuk model tertinggi TT RS pula, pengehad kelajuan elektroniknya boleh ditinggikan menjadi 280 km/j. Melengkapkan aspek prestasi adalah tawaran peredam bunyi titanium Akrapovic untuk TTS dan TT RS.

Kit badan Audi Sport untuk R8 dan TT dibangunkan di dalam terowong angin, sekaligus bermakna ia boleh memberi manfaat kepada daya tolak ke bawah (downforce). Apabila kit ini dipasang pada R8, ia boleh memberikan daya tolak ke bawah sebanyak 250 kg pada kelajuan 330 km/j dan ini adalah 100 kg lebih banyak berbanding model standard. Pada kelajuan 150 km/j, jumlah daya tolakan ke bawah sebanyak 52 kg dihasilkan dan jumlah ini adalah hampir satu kali ganda berbanding model tanpa kit tersebut.

Semua komponen aerodinamik Audi Sport ini mempunyai logo khas jenama itu, dan diperbuat daripada plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP) untuk R8, manakala untuk TT, ia dibuat daripada CFRP dan plastik. Turut tidak ketinggalan adalah bahagian dalam, dengan penawaran roda stereng pelbagai fungsi untuk R8 dan TT, dengan kemasan Alcantara dan penanda tengah.