Selepas MPV Kia Grand Carnival dan sedan Optima GT yang dilancarkan pada tahun ini, Kia Malaysia memperkenalkan pula hatchback lima-pintu Rio 2017 untuk pasaran tempatan.

Hanya didatangkan dalam satu varian sahaja, Kia Rio 2017 ini masih mengekalkan penggunaan enjin seperti model terdahulu, iaitu 1.4 liter MPI empat-silinder DOHC D-CVVT dengan kuasa 100 PS pada 6,000 rpm dan tork 133 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan.

Jika tiada penambah baikan dari aspek mekanikalnya, lantas apakah perubahan atau peningkatan yang dilakukan bagi Rio 2017 ini? Menurut Kia, perbezaan paling ketara ialah binaan saiznya. Jika meneliti dimensi bagi Rio versi sebelum ini, ia berukuran 4,045 mm bagi panjang, selebar 1,720 mm, setinggi 1,455 mm dan jarak rodanya pula 2,570 mm.

Namun, bagi Kia Rio 2017 ini, panjangnya kini bertambah 20 mm (menjadi 4,065 mm), 5 mm lebih panjang (1,725 mm) tetapi tingginya dikurangkan sebanyak 5 mm (kini 1,450 mm), manakala jarak rodanya pula lebih 10 mm (dengan 2,580 mm).

Ini sekali gus memberikan lebihan ruang untuk bahagian kabin dan meningkatkan kapasiti ruang untuk but belakang; ia kini menyediakan 325 liter dalam keadaan tempat duduk belakang normal (berbanding 288 liter bagi model sebelum ini). Sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan, ia boleh mencecah sehingga 980 liter.

Selain itu, penambahan ruang dalaman tidak hanya disebabkan oleh pertambahan jarak rodanya. Faktor itu turut dipengaruhi oleh rekaan kemasan pada pintu, penggunaan material dan bentuk papan pemukanya yang baharu. Saiz bagi tiang-C (C-pillar) juga dikurangkan sebanyak 87 mm, sementara cermin pintu telah dipindahkan ke tiang-A (A-pillar) untuk mempertingkatkan tahap penglihatan.

Bagi Rio 2017 generasi ke-empat yang dikeluarkan dari kilang pemasangan Kia di Sohari, Korea Selatan ini, ia turut menyaksikan peningkatan aspek binaan kerangka dengan kandungan 51% dengan penggunaan keluli berketahanan tinggi, berbanding hanya 33% pada model sebelumnya.

Ini bukan sahaja memberikan keselamatan yang lebih terjamin terutamanya jika terlibat dengan kemalangan, bahkan penggunaan keluli berketahanan tinggi pada tiang-B dan A termasuk pada struktur bumbung dapat memberikan keseimbangan yang lebih jitu pada casis.

Tidak lengkap rasanya jika bahagian luaran tidak mendapat sentuhan yang lebih segar. Rio 2017 ini mengadaptasi evolusi terbaharu dari Kia dengan gril ‘hidung-harimau’ ‘Schreyer’ dan rekaan gril telah dipertingkatkan dengan penutup gril berwarna hitam berkilat yang menyerlahkan lagi imej hadapannya.

Ia juga ditampilkan dengan lampu utama jenis projektor halogen, lampu nyalaan siang LED berbentuk-U, lampu belakang LED, cermin sisi larasan elektrik, rim aloi bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar 205/45 R17, spoiler belakang serta bumbung matahari.

Menjengah bahagian kabinnya pula, ia kelihatan ringkas tetapi bersesuaian dengan imej yang dibawa oleh Rio 2017 ini. Bentangan papan pemukanya diperkemas, dan rekaan kabin yang lebih ergonomik, bersama garisan melintang yang menampakkan keluasan dalaman. Konsol tengah dihadapkan kepada pemandu dan skrin sentuh lima-inci untuk sistem informasi dan hiburan dijadikan kelihatan seperti terapung.

Turut ditampilkan tempat duduk balutan fabrik, roda stereng dengan kawalan audio dan Bluetooth, Supervision Cluster 3.5-inci TFT-LCD, kawalan suhu automatik dengan Cluster Ionizer, pedal sport aloi, butang penghidup enjin, kemasukan tanpa kunci dengan kunci pintar, enam-pembesar suara, kamera undur, dua punca kuasa bagi 12 volt, dua port pengecas USB dan glovebox dengan iluminasi.

Bahagian kabinnya juga agak luas dengan pertambahan dimensi bagi ruang kepala sebanyak 4 mm untuk penumpang di belakang, lebih 8 mm untuk ruang kaki bagi penumpang hadapan dan 4 mm bagi penumpang di belakang.

Juga, model baharu ini memberikan lebih 25 mm untuk ruang bahu antara penumpang hadapan, dan 31 mm untuk penumpang di belakang. Peningkatan ruang juga melibatkan tailgate yang lebih luas sebanyak 71 mm dan lebih rendah ke lantai sebanyak 26 mm.

Manakala aspek keselamatannya menghimpunkan enam beg udara, ABS bersama EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), pengesan parkir belakang dan cagak ISOFIX. Empat pilihan warna ditawarkan untuk Rio 2017 ini iaitu Signal Red, Clear White, Silky Silver dan Smoke Blue.

Kia Rio 2017 ini ditawarkan pada harga atas jalan RM79,888 (tanpa insurans) dan turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan. Kia Malaysia turut mengumumkan untuk 50 pembeli terawal bakal menerima tiga kali servis penyelenggaran percuma. Layari maklumat spesifikasi dan kelengkapan penuh Kia Rio 2017 serta ketahui tawaran terbaik bagi kenderaan baharu di laman CarBase.my.