Baru-baru ini, Kia Rio 2017 telah dikesan di Putrajaya. Foto bahagian belakang model hatchback generasi keempat ini dihantar oleh seorang pembaca, Amirul – ia memperlihatkan lampu belakang LED dengan rekaan triple boomerang dengan penggayaan yang lebih mantap.

Senada dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Kia Malaysia, hatchback segmen-B dijangka akan diperkenalkan di pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini, namun jangka masa ini sudah semakin berakhir, mungkinkah ia ditangguhkan ke suku seterusnya?

Walau bagaimanapun, difahamkan pasaran di sini akan menerima model 1.4 liter N/A dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

Ia adalah pakej yang sama seperti mana ditawarkan di pasaran Australia (yang turut mempunyai pilihan transmisi manual enam-kelajuan), tidak seperti yang diterima di pasaran Eropah dengan enjin petrol 1.0 liter turbo dan 1.4 liter turbodiesel.

Rio baharu ini telah pun dilancarkan di Indonesia ketika penganjuran IIMS 2017 pada akhir April lalu. Ia ditawarkan dengan enjin 1.4 liter NA berkuasa 100 PS dan tork maksima 133 Nm. Enjin Dual CVVT tersebut dipadankan dengan pilihan transmisi empat kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual.

Kia Rio baharu dijual pada harga bermula 250 juta rupiah (RM80,332) untuk pasaran Indonesia dan dibawa secara CBU dari Korea Selatan.

Ikuti ulasan pandu uji kami bagi Rio baharu spesifikasi Australia DI SINI.

GALERI: Kia Rio 1.4 MT, spesifikasi Indonesia