Pada April lalu, Bermaz telah mendedahkan kebarangkalian bakal melancarkan CX-5 generasi kedua di pasaran Malaysia pada September atau Oktober tahun ini. Nampak gayanya, pengedar tempatan seakan tidak sabar menantikan model ini dan telah memuat naik entri “akan datang” di laman Facebook mereka.

Walau bagaimana pun tidak ada informasi mengenai model pasaran tempatan dan gambar yang dilampirkan diambil dari Facebook rasmi Mazda Singapura.

Difahamkan model CX-5 baharu ini menggunakan barisan enjin yang sama iaitu 2.0 dan 2.5 liter SkyActive-G petrol dan juga 2.2 liter SkyActiv-D, yang kesemuanya ditawarkan untuk model generasi pertama yang masih dijual sekarang. Dan kemungkinan juga enjin yang sama akan ditawarkan untuk model generasi kedua yang bakal dilancarkan tidak lama.

Model baharu ini berukuran 4,550 mm panjang (-5 mm tanpa pemegang nombor plat), 1,840 mm bagi lebar (tidak berubah) dan 1,690 mm bagi ketinggian (+20 mm), dengan jarak roda 2,700 mm (tidak berubah).

Bagi penggayaannya, ia banyak dipengaruhi oleh CX-3 dan CX-9, dengan gril baharu, lampu utama yang lebih langsing dan tiang-A telah diposisikan sedikit ke belakang. CX-5 baharu turut menerima warna badan luaran baharu yang dipanggil Soul Red Crystal.

Di bahagian dalamanya, kabin CX-5 baharu agak berbeza berbanding persaingnya dengan papan pemuka diberi rekaan semula. Kini ia juga ditampilkan dengan skrin sesentuh ‘free-standing’ untuk sistem infotainmen dan juga corong pendingin hawa yang lebih berketerampilan.

Selain itu, ia turut menampilkan roda stereng dari CX-9, dengan beberapa elemen lain termasuk suis pendingin hawa, Commander Control, pemilih gear, butang start/stop penghidup, Active Driving Display berwarna sepenuhnya, sistem bunyi Bose 10-pembesar suara dan paparan sluster instrumen TFT LCD 4.6-inci, yang segelintirnya ada pada model semasa Mazda.

Lain-lain perubahan berbanding model sebelum ini termasuklah prestasi NVH yang lebih bagus, dan turut menampilkan SkyActiv-Vehicle Dynamic, dengan sistem G-Vectoring Control (GVC).

Kami turut dimaklumkan, CX-5 generasi kedua ini akan dipasang di Kulim iaitu di kilang milik Inokom. Malah fasiliti di sana turut ditingkatkan, membolehkan semua model CKD boleh dicat dengan warna premium jenama ini termasuk Soul Red Metallic (dan mungkin Soul Red Crystal ?) dan Machine Gray.

GALERI: Mazda CX-5 generasi kedua